“KALI pertama saya melawat dia (anak) di Penjara Juvana (Penjara Kajang), dia bertanya kepada saya: “Mother, how long you think I’m going to be here?”
“Jujur soalan itu sangat meruntun jiwa saya sebagai seorang ibu lebih-lebih lagi apabila melihat wajah anak lelaki berusia 20 tahun yang tersenyum gembira seolah-olah berada di pusat jagaan kanak-kanak dan bukannya di penjara.”
Itu momen paling tidak boleh dilupakan Azlina Abdul Aziz, 52, tatkala menerima ujian apabila anak lembamnya didakwa dalam kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 sekali gus menjadi titik perubahan seorang suri rumah bergelar peguam demi membantu menyelamatkan cinta hatinya.
“Memang saya tidak pernah terfikir untuk jadi seorang peguam.
“Saya hanya suri rumah. Saya membesar dalam keluarga susah di tanah rancangan Felda Palong Dua, Negeri Sembilan dan tidak sempat menamatkan persekolahan hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya terpaksa berhenti sekolah awal sebab keluarga hidup susah.
“Cabaran hidup sejak kecil turut dipengaruhi keadaan bapa, Abdul Aziz Hussain yang menghidap masalah mental dan dua adik-beradik lelaki yang telah pun meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah,” katanya kepada K-Wanita dalam satu temu bual baru-baru ini.
Terdahulu, kisah Azlina atau dikenali di media sosial sebagai Makcikmanis menuai perhatian netizen mengenai perkongsiannya daripada seorang suri rumah menjadi peguam dan lebih mencuri perhatian kerana tidak mempunyai SPM.
Menyoroti kisah rumah tangganya, Azlina memberitahu dia berkahwin kali pertama pada usia muda, namun perkahwinan itu tidak bertahan lama dan berakhir dengan perceraian.
“Saya fikir kahwin awal boleh selesaikan masalah, tetapi rupanya ujian lain pula yang menimpa.
“Saya menjadi ibu tunggal selama beberapa tahun sebelum bertemu jodoh dengan suami yang merupakan warga Australia.
“Kami menetap di Australia bermula tahun 2003 sebelum kembali ke Malaysia pada 2010,” katanya.

di UIAM pada 2022 selepas empat tahun bersusah payah.
Menurutnya, dia menjadi suri rumah sepenuh masa hinggalah anak lelakinya ditahan tiga anggota polis pada Oktober 2016.
“Mula-mula saya ingat kes dadah, tetapi bila polis cakap kes bunuh, memang terkejut sangat.
“Anak saya mempunyai masalah pembelajaran didakwa bersama individu lain dalam kes berkenaan. Anak saya nampak macam normal, tetapi sebenarnya dia seorang yang lembam,” katanya lagi.
Sepanjang tempoh perbicaraan anaknya, Azlina pasti akan ke mahkamah dan mula membaca bahan berkaitan undang-undang untuk memahami proses mahkamah.
“Saya pergi ke Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam hanya untuk melihat bagaimana peguam-peguam berhujah dan saksi-saksi menjawab soalan-soalan pihak pendakwaan serta pembelaan.
“Dari situlah jiwa dan kata hati saya merasakan bahawa saya boleh menjadi peguam. Saya berfikiran bahawa saya boleh menjadi peguam yang lebih baik daripada peguam-peguam yang saya pernah lihat.
“Namun begitu, saya menerima takdir yang diri sudah lewat usia dan tidak mempunyai sijil persekolahan untuk mengambil jurusan undang-undang bagi melayakkan diri menjadi seorang peguam,” katanya.
Jelasnya, pada awal tahun 2018, selepas hampir dua tahun anak ditahan di Penjara Sungai Buloh, atas galakan para sahabat dan ustazahnya, dia memberanikan diri ke Unit Kemasukan Pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.
Dek kerana tidak mempunyai cukup kelayakan dalam akademik, pihak UIA meminta dia mendapatkan maklumat lanjut mengenai laluan alternatif Accreditation of Prior Experiential Learning – APEL A Access yang diiktiraf oleh Malaysia Qualifications Agency (MQA).

Ia satu laluan yang diperakui berdasarkan antaranya pengalaman hidup dan pengalaman kerja yang bersesuaian.
“Dari situ saya menyediakan portfolio yang mengandungi latar belakang dan pengalaman bekerja dan saya juga dikehendaki mengambil peperiksaan.
“Alhamdulillah, saya berjaya dan diberi sijil yang mengesahkan dan melayakkan saya untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti.
“Sijil itu saya gunakan sebagai dokumen bagi melayakkan saya mengambil jurusan undang-undang.
“Maka dengan niat kerana Allah demi membantu anak dan orang lain, saya memulakan pengajian pada Julai 2018 secara sepenuh masa dan berjaya menghabiskannya dalam masa empat tahun iaitu pada tahun 2022,” tuturnya.
Ditanya bagaimana pengalaman hidupnya menjadi ‘tiket’ dan membolehkan dia mengikuti laluan alternatif APEL, Azlina memberitahu, meskipun hanya bergelar suri rumah, dia juga pernah membuka syarikat berstatus Sdn. Bhd. yang menjalankan perkhidmatan payroll.
“Saya juga pernah menjalankan perniagaan pakaian Muslimah diberi nama ‘My Makcikmanis’.
“Perniagaan ini saya terpaksa hentikan operasinya apabila kes anak bermula dan saya tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskannya.
“Pada masa sama sebelum itu, saya juga aktif sebagai sukarelawan bersama Persatuan Pengasih Malaysia dan beberapa lagi.
“Saya juga banyak mengikuti seminar-seminar yang saya rasa waktu itu dapat memberi motivasi dan mengasah kemahiran.
“Segala sijil-sijil yang diberikan saya simpan,” katanya yang juga pernah mengambil upah menjual ikan dengan mendapat upah RM5 ketika berusia 16 tahun selepas berhenti sekolah.
Berkongsi cabaran sepanjang empat tahun pengajian dan memulakan kuliah ketika berusia 44 tahun, anak ketiga daripada lapan beradik ini mengakui dia juga mempunyai masalah fokus iaitu Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Jelasnya, ada sesetengah subjek yang dia tidak minat, amat sukar untuknya memberi fokus. Namun, ada subjek-subjek yang diminati, dia boleh fokus dengan baik.
“Satu lagi cabaran sewaktu belajar apabila terpaksa membiasakan diri dengan teknologi maklumat terutama ketika tahun akhir kerana kelas dijalankan sepenuhnya secara online disebabkan Covid-19.
“Peperiksaan dan presentation juga diambil secara dalam talian dan ada masa saya ‘struggle’ bagaimana mahu menghantar dokumen yang telah siap dan lain-lain.
“Saya tidak mempunyai masalah dalam menyesuaikan diri kerana personaliti saya mudah bergaul dengan semua peringkat umur.
“Belajar di universiti adalah ‘childhood dream’ saya dan saya sangat bersyukur serta gembira impian menjadi seorang peguam menjadi kenyataan,” katanya.
Pun begitu akuinya, bila terlalu banyak tugasan dan pembentangan termasuk peperiksaan membuatkan dia sedikit kelam-kabut, namun bukan alasan untuk menyerah.
Baginya, itulah kelebihan menjadi pelajar dewasa yang mana mereka sudah melalui perkara-perkara yang lebih susah daripada belajar.
Selepas hampir enam tahun menempuh proses yang panjang dan melelahkan, sinar akhirnya muncul sebelum sempat bersedia menjadi ‘pembela’ sebenar anaknya.
Pada Mei 2022, anaknya dibebaskan daripada pertuduhan selepas didapati tidak bersalah.
“Alhamdulillah itu detik paling saya syukuri dan tunggu. Lebih bermakna, dia (anak) sempat datang dan tengok saya pada majlis konvokesyen,” katanya.
Lebih membanggakan, berkat usaha tanpa erti putus asa dan niat membantu lebih ramai keluarga mendapatkan khidmat guaman, dia kini mengendalikan firma guamannya sendiri dengan fokus kepada kes sivil dan jenayah, bidang yang pernah menguji seluruh jiwanya.
Pengalaman sebagai bekas ‘anak guam’ menjadikan dirinya lebih empati dan memahami.
Bagi Azlina, profesion ini bukan sekadar kerjaya, tetapi satu amanah dan tanggungjawab yang diberikan Allah kepadanya.
“Saya tahu bagaimana rasanya berada di tempat mereka. Jadi, saya tidak mahu ambil kesempatan atas kesusahan orang. Saya mahu bantu seikhlas dan semampunya.
“Saya juga ingin berkongsi pengalaman peribadi dan pendedahan berkaitan tertuduh yang mempunyai ‘mental intellectual disability’ atau lembam di sisi undang-undang.
“Pada pemerhatian peribadi, tertuduh yang lembam selalu dikendali seperti tertuduh yang mempunyai darjah kecerdasan (IQ) yang normal,” katanya.
Azlina menitipkan pesanan buat anak muda yang bercita-cita mahu bergelar peguam agar teruskan niat dan fokus serta habiskan pengajian terlebih dahulu, lalu buatlah keputusan yang diri selesa.














