fbpx
GADIS asal Kota Bharu, Kelantan ini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif di UUM.

Batrisyia minat seni penulisan dan sastera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CINTA terhadap penulisan kreatif dan sastera sejak di bangku sekolah membuatkan Batrisyia Mohamad Napiah, 22, terus bersemangat berkarya apatah lagi kini dia merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Batrisyia menjadikan karya sastera sebagai wadah murni untuk menzahirkan pemikiran serta mengangkat isu kemasyarakatan.

Gadis yang menggunakan nama pena Batrisyia Napiah ini menjelaskan, pengajian di UUM memberi kelebihan baginya mendalami sastera kontemporari secara ilmiah, sekali gus mempelajari selok-belok memasarkan karyanya menerusi industri kreatif.

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan memberitahu, kecenderungannya dalam bidang tersebut bermula menerusi hobi membaca sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Pada awalnya saya kurang minat menulis dan lebih gemar membaca puisi kerana sejak sekolah rendah sudah terdedah dengannya.

“Namun, sewaktu menuntut di sekolah agama, saya banyak mempelajari sastera Arab. Dari situ minat terhadap penulisan kreatif mula timbul, cuma ketika itu saya lebih suka membaca puisi bahasa Inggeris berbanding sastera Melayu.

“Jadi, dengan memilih aliran sastera ketika di Tingkatan Enam matlamat saya adalah untuk mendalami sastera Melayu dengan lebih mendalam,” kata anak kelapan daripada sembilan beradik ini.

Selepas itu, dia kemudiannya melanjutkan pengajian ke UUM bagi memperluaskan lagi pengetahuan seni tulisannya.

Katanya, bimbingan akademik daripada pensyarah UUM banyak membantu dalam menggilap teknik penulisannya.

Dia juga berpeluang mengikuti bengkel penulisan anjuran pensyarah dan dipertemukan dengan dua tokoh penulis prolifik iaitu Hasan Baseri Budiman serta Solihin Osman.

“Menerusi bengkel penulisan itu, saya mula mengenali dua penulis tersebut yang kini menjadi idola penting dan pendorong utama saya untuk terus menulis.

“Bukan sahaja pensyarah yang sentiasa memproses dan menilai karya kami, malah bimbingan daripada kedua-dua tokoh ini yang kerap mengajak saya dan kawan-kawan menghasilkan cerpen, sajak serta berita banyak membuka jalan buat saya.

“Jadinya, saya dapat mempelajari kriteria penulisan serta selok-belok menghantar karya mengikut kehendak penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Tunas Cipta,” jelasnya.

Tambah Batrisyia, bekalan ilmu itu mendorong dirinya untuk mula menghantar penulisan karyanya ke pelbagai platform penerbitan.

“Semester ketiga baharu saya ada keberanian untuk hantar karya ke luar sebab sebelum ini saya cuma hantar penulisan kepada pensyarah.

“Tapi bila hantar ke penerbitan luar, karya saya ditolak kerana dikatakan penulisan masih lemah.

“Saya rasa betul-betul tercabar sebab saya membawa nama universiti dan status sebagai pelajar sastera. Namun, saya sedar hasil yang baik datang daripada usaha yang berterusan,” imbau Batrisyia.

Kritikan tersebut dijadikan pembakar semangat untuknya terus bangkit hingga akhirnya tiga karyanya berjaya menembusi penerbitan utama tanah air.

Pencapaian bermakna itu terbukti menerusi terbitan puisi bertajuk Menyisir Kencana dalam majalah Tunas Cipta, disusuli penulisan rencana bertemakan nilai keislaman menerusi platform Wadah DBP serta puisi Eligi di Kota Rama-rama di akhbar Kosmo!.

Selain aktif menulis, anak muda berbakat besar ini juga giat mengasah bakatnya dalam seni persembahan menerusi penglibatan aktif dalam industri teater dan tarian di kampus yang turut memberi warna kepada karya-karyanya.

Mengenai sastera, Batrisyia berpendapat anak muda hari ini masih mempunyai rasa cinta terhadap sastera Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN