Oleh Mohammad Sudirman Mohd. Tahir
SUATU ketika dahulu, perjalanan seseorang artis menuju populariti lazimnya bermula dengan uji bakat, latihan yang berterusan, penerbitan album atau drama, diikuti promosi melalui radio, televisyen dan media cetak. Hari ini, formula itu tidak lagi mutlak. Dalam era media sosial, platform seperti TikTok, Instagram Reels dan YouTube
Shorts semakin menentukan siapa yang dikenali, lagu mana yang menjadi siulan dan kandungan apa yang mendominasi perhatian masyarakat. Persoalannya, adakah bakat masih menjadi ukuran utama dalam industri hiburan atau algoritma kini lebih berpengaruh dalam mencipta bintang?
Perubahan landskap digital telah mengubah cara masyarakat menikmati hiburan. Jika dahulu pengguna mencari kandungan yang ingin ditonton, kini algoritma pula ‘menghidangkan’ kandungan berdasarkan minat, sejarah tontonan dan corak interaksi pengguna.
Setiap kali seseorang menonton video sehingga habis, menekan butang suka, berkongsi atau meninggalkan komen, sistem akan mempelajari tingkah laku tersebut sebelum mencadangkan kandungan yang hampir sama.
Dalam konteks industri hiburan, algoritma secara tidak langsung berperanan sebagai ‘pengarah pentas’ yang menentukan siapa mendapat perhatian dan siapa yang terus tenggelam dalam persaingan.
Fenomena ini jelas dapat dilihat dalam industri muzik. Banyak lagu yang pada awalnya tidak mendapat sambutan akhirnya menjadi fenomena selepas digunakan secara meluas dalam video pendek di TikTok.
Pengguna media sosial menghasilkan ribuan video menggunakan lagu yang sama untuk cabaran tarian, kandungan komedi atau gaya hidup sehingga karya tersebut melonjak ke carta penstriman global.
Kejayaan sesebuah lagu hari ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada siaran radio atau televisyen, sebaliknya dipengaruhi oleh sejauh mana algoritma memperluaskan capaiannya kepada pengguna lain.
Perubahan yang sama turut berlaku dalam industri filem dan drama. Klip pendek daripada sesebuah drama atau filem sering dimuat naik ke media sosial bagi menarik perhatian penonton.
Tidak kurang juga babak tertentu menjadi tular sehingga mendorong orang ramai menonton keseluruhan karya di platform penstriman. Strategi pemasaran ini membuktikan bahawa kandungan berdurasi kurang seminit mampu memberikan impak besar terhadap kejayaan sesebuah produksi.
Di Malaysia sendiri, ramai penyanyi, pelakon dan pencipta kandungan membina pengaruh melalui media sosial sebelum diberikan peluang dalam industri arus perdana.
Ada yang bermula dengan menghasilkan video nyanyian dari rumah, ulasan filem, sketsa komedi atau kandungan gaya hidup sebelum ditawarkan kontrak rakaman, berlakon drama atau menjadi wajah kempen jenama terkenal.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa media sosial telah membuka ruang yang lebih demokratik kepada bakat baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada proses pemilihan konvensional.
Namun, di sebalik peluang yang luas itu, muncul cabaran yang semakin membimbangkan. Algoritma lazimnya mengutamakan kandungan yang mampu mencetuskan emosi, interaksi dan kadar tontonan yang tinggi. Keadaan ini menyebabkan sebahagian penggiat seni berasa tertekan untuk sentiasa menghasilkan kandungan yang pantas menarik perhatian, walaupun kandungan tersebut tidak semestinya mencerminkan identiti atau kualiti sebenar karya mereka.
Ada yang memilih menghasilkan kandungan sensasi, kontroversi atau mengikut trend semata-mata kerana bimbang kehilangan capaian digital.
Fenomena ini akhirnya mengubah definisi kejayaan dalam industri hiburan. Jika dahulu kejayaan diukur melalui mutu persembahan, pencapaian anugerah atau sumbangan terhadap perkembangan seni, kini bilangan pengikut, jumlah tontonan dan kadar interaksi turut menjadi penanda aras utama.
Dalam sesetengah keadaan, karya yang mempunyai nilai seni tinggi mungkin kurang mendapat perhatian kerana tidak memenuhi kehendak algoritma, manakala kandungan yang bersifat ringan atau sensasi lebih mudah menjadi tular.
Lebih membimbangkan, tekanan untuk sentiasa relevan boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan mental artis. Mereka bukan sahaja perlu menghasilkan karya berkualiti, malah perlu memikirkan strategi pemasaran digital, memahami perubahan algoritma, berinteraksi secara konsisten dengan peminat dan menghasilkan kandungan hampir setiap hari.
Akibatnya, sempadan antara kehidupan peribadi dan kerjaya semakin kabur. Artis bukan lagi sekadar penyanyi atau pelakon, tetapi juga pencipta kandungan, pemasar digital dan pengurus jenama mereka sendiri.

Dalam masa yang sama, kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut mempercepatkan perubahan ini. AI kini digunakan untuk menghasilkan muzik, menyunting video, mencipta poster promosi, menganalisis kecenderungan penonton dan membantu menghasilkan kandungan pemasaran dengan lebih pantas.
Walaupun teknologi ini meningkatkan kecekapan, ia turut menimbulkan persoalan tentang keaslian karya, hak cipta dan masa depan profesion kreatif. Industri hiburan perlu memastikan penggunaan AI memperkukuh kreativiti manusia, bukannya menggantikannya.
Peranan masyarakat sebagai pengguna juga tidak boleh diketepikan. Algoritma tidak berfungsi secara bersendirian, sebaliknya dipengaruhi oleh pilihan pengguna. Apabila masyarakat lebih gemar berkongsi kandungan sensasi berbanding karya yang berkualiti, algoritma akan terus mempromosikan kandungan yang menerima interaksi paling tinggi.
Ini bermakna setiap klik, tontonan dan perkongsian sebenarnya menyumbang kepada pembentukan landskap hiburan digital yang kita nikmati hari ini.
Justeru, industri hiburan perlu mencari keseimbangan antara memenuhi kehendak algoritma dengan mengekalkan nilai seni.
Pada masa yang sama, syarikat rakaman, penerbit, platform penstriman dan agensi berkaitan wajar memperkukuh latihan dalam bidang literasi digital, pemasaran kandungan, etika media sosial dan penggunaan
AI secara bertanggungjawab agar penggiat seni mampu menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa mengorbankan integriti berkarya.
Akhirnya, sejarah membuktikan bahawa teknologi sentiasa berubah, tetapi nilai sesebuah karya yang berkualiti akan terus dihargai.
Algoritma mungkin mampu mencipta populariti dalam tempoh yang singkat, namun hanya bakat, disiplin, kreativiti dan keaslian yang mampu memastikan seseorang artis kekal relevan untuk jangka panjang.
Dalam dunia hiburan yang semakin dipacu data dan teknologi, kita tidak seharusnya membiarkan algoritma menentukan sepenuhnya siapakah yang layak digelar bintang.
Sebaliknya, algoritma perlu menjadi pemudah cara yang membantu memperkenalkan karya berkualiti kepada khalayak.














