PETALING JAYA – Pempengaruh Marissa Dania Hakim menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduh dirinya tidak menyayangi ibunya, pelakon Abby Abadi.
Marissa, 21, menegaskan bahawa tiada seorang pun anak di dunia ini yang sengaja mahu bermusuh dengan ibu sendiri.
“Mana ada orang tak sayang mak dan nak gaduh dengan mak sendiri,” katanya dalam sebuah video.
Sementara itu, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, turut menegaskan bahawa setiap hantaran yang dimuat naik dalam media sosial sebelum ini bukannya gimik jualan atau teknik pemasaran (marketing) seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, perkongsian berkenaan kerap kali disalah tafsir sehingga menimbulkan pelbagai andaian liar mengenai hubungannya dengan anaknya.
“Saya tak pernah terfikir sebenarnya apa yang saya kongsi dalam media sosial sebagai teknik pemasaran, lillahitaala.
“Apa yang saya kongsi itu, apa yang berlaku sambil-sambil je kan.
“Kita tak gaduh. Apa saya tulis, ditujukan kepada orang lain, netizen yang bersangka lain perginya,” katanya.
Terdahulu, hubungan Abby dan Marissa menjadi perhatian apabila pelakon itu tidak menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak keduanya itu.
Bagaimanapun, Marissa menjelaskan dia sudah menghantar jemputan kepada ibunya dan berharap Abby dapat hadir meraikan hari istimewa tersebut.
Susulan isu berkenaan, media sosial dibanjiri pelbagai andaian termasuk segelintir netizen yang menyerang pula bekas suami Abby, Norman Hakim, serta isterinya, Memey Suhaiza. – KOSMO! ONLINE














