MELAKA – Seorang wanita menangis dan memohon maaf kepada isteri skandal lelakinya selepas mengaku bersalah melakukan percubaan persetubuhan haram ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.
Tertuduh yang berusia 35 tahun bersama pasangan lelakinya berusia 24 tahun, masing-masing didenda RM4,500 dan RM5,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Abu Bakar Daud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Batu Berendam kira-kira pukul 2 pagi antara 1 hingga 30 Jun lalu.
Terdahulu, wanita itu dalam rayuannya memohon maaf kepada isteri pasangan skandalnya yang berusia 25 tahun atas perlakuan itu selain merayu agar tidak dipenjarakan.
“Saya mohon maaf atas perlakuan sebelum ini. Saya menyesal dan tidak lagi berhubung dengannya. Saya mohon hukuman tidak dipenjarakan kerana mempunyai dua anak dan masih bersuami selain sudah menyesali perbuatan ini,” katanya dalam keadaan menangis.
Sementara itu, lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar makanan turut merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara kerana perlu menanggung dua anak yang masih kecil serta isterinya yang berniaga nasi lemak di tepi jalan.
Ketua Pendakwa Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam hujahnya memohon hukuman setimpal dikenakan dan turut menyatakan isteri tertuduh lelaki turut disabitkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas kesalahan menyimpan dan menyebarkan video aib pasangan terbabit pada Isnin lalu. Tertuduh lelaki juga pernah didakwa atas kesalahan bersubahat dalam kes hamil luar nikah. – KOSMO! ONLINE














