ROMPIN – Kereta jenis Perodua Myvi yang terjunam ke dalam Sungai Rompin semalam ditemukan kira-kira 59 meter dari lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kereta terbabit ditemukan oleh pasukan penyelam di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Kenderaan dikenalpasti di dasar sungai sedalam kira-kira sembilan meter dalam keadaan mengiring dan pada masa ini arus agak kuat. Mangsa belum dikenal pasti sama ada berada di dalam kenderaan terbabit,” katanya di sini hari ini.
Semalam sepasang suami isteri dikhuatiri lemas selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Rompin.
Difahamkan semasa kejadian, mangsa, Mohd Zairip Bidin, 40, dan isterinya Aisyah Shafie, 55, dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kampung Sarang Tiong di Tanjung Gemok. – KOSMO! ONLINE














