fbpx
Nurul Insyirah menerima ijazah bagi pihak kakaknya, Allahyarham Nurul Athirah yang meninggal dunia pada 29 Mac lalu akibat kanser. Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

Adik sebak terima ijazah arwah kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang gadis berusia 20 tahun terpaksa menggagahkan diri naik ke pentas konvokesyen hari ini untuk menerima Ijazah Anumerta bagi pihak kakaknya, Allahyarham Nurul Athirah Othman 24, yang meninggal dunia akibat kanser rahim pada 29 Mac lalu.

Nurul Insyirah Othman 20, berkata, segulung kertas yang diterima itu bukan sekadar ijazah, sebaliknya simbol impian arwah kakaknya yang merupakan pelajar Sarjana Muda Undang-Undang Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Hari ini, impian itu hanya dalam ingatan. Saya janji kepada diri sendiri supaya kuat apabila berdiri di atas pentas untuk mewakili arwah kakak, tetapi saya tidak mampu menahan rasa sedih,” katanya sebak ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-23 USIM di Dewan Tuanku Canselor di sini hari ini.
Allahyarham Nurul Athirah dikenali kerana ketekunan, budi bahasa dan minat mendalam dalam penulisan esei dan poster.

Menurut anak kedua dari tiga beradik itu, dia datang ke USIM dengan menaiki kapal terbang dari Wakaf Baru, Kelantan seorang diri kerana bapanya terpaksa menjaga ibu yang tidak sihat di kampung.

“Saya tak sabar nak pulang dan bawa ijazah ini untuk ditunjukkan (ziarah kubur arwah) nanti,” katanya.

Cerita gadis itu, kakaknya dikesan menghidap penyakit barah itu pada November tahun lalu.

“Sepanjang sebulan menjalani rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia kami berdua berbual, bergurau dan bercerita tentang impian masing-masing. Saya ingat lagi arwah kakak teringin kereta jenis Volkswagen. Dia mahu membawa keluarga bersiar-siar, namun hasratnya tidak kesampaian, ” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN