SHAH ALAM – Detik penuh bermakna kepada seorang bapa dan anak perempuannya apabila berkongsi pentas menerima Doktor Falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini, hari ini.
Dr. Jafni Ghazali, 60, dan anak sulungnya, Dr. Nurul Huda, 29, menamatkan pengajian peringkat PhD Pengurusan Perniagaan selepas mendaftar bersama pada tahun 2021.
Jafni yang merupakan bekas Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal berkata, kejayaan tersebut merupakan berkat doa arwah ibunya, Che Som Adam pada 30 tahun lalu.
“Alhamdulillah, kira-kira 30 tahun lalu arwah ibu bertanya apa hasrat saya dan saya jawab mahu belajar sampai habis. Hari ini, impian itu tertunai.
“Pada awalnya saya tidak bercadang menyambung pengajian, namun keputusan itu berubah selepas menemani anak. Hasrat untuk menimba ilmu itu sebenarnya sentiasa ada dalam diri,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini, hari ini.
Menurutnya, peluang bergraduasi bersama anak tersayang menjadi satu anugerah paling indah dalam hidupnya.
“Saya dan anak mendaftar PhD pada tahun 2021 dengan kami belajar di UiTM Permatang Pauh dibawah penyelia yang sama.
“Dapat naik ke pentas bersama adalah satu anugerah terindah daripada Tuhan,” ujarnya yang telah bersara kira-kira tiga tahun lalu.
Sementara itu, Nurul Huda yang kini bertugas sebagai Pakar Komunikasi Serantau di Kulim Hi-Tech berkata, dia amat terharu dapat berkongsi detik bersejarah bersama bapanya dan saat itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
Katanya, mereka bukan sekadar bapa dan anak malah merupakan rakan satu kursus yang saling menyokong antara satu sama lain dalam memastikan dapat menamatkan PhD bersama.
“Terharu apabila ayah berada di sebelah ketika kami ambil skrol bersama. Pengalaman ini menjadi kenangan paling manis sepanjang perjalanan akademik saya.
“Tambahan, ia merupakan konvokesyen kali pertama saya kerana sebelum ini tidak sempat meraikan selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Untuk Profesional di Universiti Sains Malaysia (USM) susulan melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Linguistik di Universiti Manchester, United Kingdom (UK),” jelasnya.
Anak sulung tiga beradik itu memaklumkan ingin meneruskan kerjaya dalam industri dan tidak menolak menyumbang dalam bidang akademik sekiranya berpeluang. – KOSMO! ONLINE














