PETALING JAYA –Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi apabila jenazah seorang penghantar makanan, Muhammad Azim Haikal, selamat disemadikan pada pukul 10 pagi hari ini.
Allahyarham yang maut dalam nahas jalan raya di SS17 kelmarin,merupakan penuntut tahun akhir Universiti Islam Selangor (UIS) dan hanya berbaki tiga minggu sahaja lagi sebelum dijadualkan menghadiri majlis konvokesyennya.
Menerusi perkongsian di media sosial @faizalroadtofit, pemergian pemuda berkenaan dianggap sangat menyayat hati kerana dia menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang keluar mencari rezeki buat keluarga.
“Perginya ketika mencari rezeki, arwah hanya berbaki sekitar tiga minggu lagi untuk konvokesyen di UIS. Namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut mengucapkan takziah dan berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Semoga Allah tempatkan arwah dengan golongan yang beriman,” kata pengguna @the_emotional_shark.
“Salam takziah buat keluarga, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata pula pengguna @dyra_zainal.
Terdahulu Kosmo! melaporkan siasatan polis mendedahkan kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan jenis Proton X70 yang hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa pada pukul 1.45 petang, semalam.
Ujian saringan air kencing dan alkohol yang dibuat keatas pemandu menunjukkan keputusan negatif serta pemandu berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan memandangkan usianya serta mempunyai penyakit. – KOSMO! ONLINE














