GUA MUSANG – Seorang pelajar tingkatan satu yang tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh di sini meninggal dunia akibat pendarahan pada kepala dan paru-paru berair dalam kejadian pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan remaja lelaki berusia 13 tahun itu kira-kira pukul 8.53 pagi semalam daripada seorang lelaki yang memaklumkan anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.
Katanya, mangsa kemudian dibawa oleh pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini untuk rawatan lanjut.
“Pegawai perubatan di klinik tersebut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati, punca kematian mangsa disebabkan oleh pendarahan spontan pada bahagian kepala dan paru-paru berair. Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE














