fbpx
Mohamed Ridza Abdulla

Rakyat Malaysia pertama dilantik Pengerusi Global Rangkaian Perundangan Antarabangsa LAWorld

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rakan Pengurusan firma guaman Mohamed Ridza & Co, Datuk Mohamed
Ridza Abdulla telah dilantik sebagai Pengerusi Global LAWorld, sebuah rangkaian antarabangsa firma guaman bebas yang mempunyai kehadiran di pusat-pusat komersial utama di seluruh dunia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelantikan menerusi proses pemilihan itu mencatat sejarah tersendiri apabila beliau menjadi rakyat Malaysia pertama menerajui rangkaian global tersebut sejak penubuhannya 30 tahun lalu.

LAWorld adalah rangkaian perundangan antarabangsa bukan eksklusif yang menghimpunkan hampir 70 firma guaman bersaiz sederhana yang beroperasi secara bebas, melibatkan lebih 1,500 peguam di lebih 100 bandar di seluruh dunia.

Rangkaian itu diwujudkan bagi menyediakan akses langsung dan pantas kepada khidmat nasihat
perundangan tempatan berkualiti tinggi merentasi pelbagai bidang kuasa, di samping
mengekalkan kebebasan serta budaya perkhidmatan berasaskan kepimpinan rakan kongsi
setiap firma ahli.

Pelantikan Mohamed Ridza dibuat selepas hampir dua dekad penglibatan beliau bersama LAWorld.

Mohamed Ridza & Co menyertai rangkaian itu pada 2007 sebagai firma ahli mewakili Malaysia sebelum menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan LAWorld di Kuala Lumpur pada 2019 yang menghimpunkan firma ahli dari Asia, Eropah, benua Amerika dan rantau lain.

Mengulas lanjut, Mohamed Ridza menggariskan beberapa perancangan untuk terus memperkukuh kedudukan LAWorld sebagai rangkaian perundangan bertaraf
global.

Antara fokus utama beliau termasuklah  memperluaskan keahlian LAWorld di bidang kuasa
yang masih kurang diwakili, khususnya di Afrika dan rantau Teluk, mempertingkat kerjasama
serantau serta memperkasa Program NextGen menerusi latihan berstruktur, laluan
pembangunan kepimpinan dan penempatan antarabangsa.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan keterlihatan global serta penanda aras kualiti firma ahli, memperkukuh tadbir urus digital dan hubungan rangkaian, selain membina ekosistem profesional yang lebih menyeluruh bagi menyokong keperluan rentas sempadan pelanggan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli LAWorld yang diwakili barisan
kepimpinan kanan firma masing-masing atas kepercayaan melantik saya ke jawatan ini.

“Ia merupakan satu penghormatan besar dan pada masa sama satu tanggungjawab yang amat
besar untuk memastikan LAWorld terus mencapai tahap kecemerlangan perundangan yang
lebih tinggi.

“Saya menantikan peluang bekerjasama dengan ahli Jawatankuasa Eksekutif LAWorld yang terdiri daripada individu berkualiti tinggi dari pelbagai bidang kuasa di seluruh dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia, penglibatan dalam LAWorld amat selari dengan identiti
Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan sejak abad ke-15 lagi,” jelasnya.

Tambah beliau, LAWorld akan membolehkan pihaknya membantu pelanggan Malaysia dan antarabangsa meneroka pasaran global secara lancar menerusi pusat sehenti.

Pada masa sama, ia turut membantu firma ahli LAWorld di seluruh dunia dalam memberi nasihat kepada pelanggan mereka berkaitan pelaburan di Malaysia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN