BARU-BARU ini satu berita palsu tersebar mengenai kematian bintang legenda, Dharmendra. Aktor veteran itu dilaporkan meninggal dunia pada 11 November selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan.
Selepas berita itu tular dalam media sosial, isteri dan anak Dharmendra iaitu Hema Malini dan Esha Deol tampil membuat kenyataan dalam media sosial. Hema menyelar tindakan tidak bertanggungjawab portal India Times yang menyebarkan berita palsu tentang kematian suaminya.
“Apa yang berlaku tidak boleh dimaafkan! Bagaimanakah saluran berita yang bertanggungjawab boleh menyebarkan berita palsu tentang seseorang yang sedang dalam rawatan untuk pulih?
“Ini adalah perbuatan yang sangat tidak hormat dan tidak bertanggungjawab. Sila beri penghormatan yang sewajarnya kepada keluarga dan beri ruang peribadi,” tulis Hema dalam aplikasi X.
Sementara itu, anak perempuan Dharmendra, Esha Deol menerusi hantaran dalam Instagram pula kesal dengan penyebaran berita palsu tentang bapanya.
“Media telah bertindak berlebihan menyebarkan berita palsu tentang bapa saya. Bapa saya berada dalam keadaan stabil.
“Kami memohon agar semua dapat memberikan ruang privasi terhadap keluarga kami. Terima kasih atas doa kalian semua. Semoga papa lekas sembuh,” tulisnya.
Dharmendra merupakan pelakon legenda yang disegani di arena perfileman Bollywood dan telah membintangi lebih 300 buah filem sepanjang 60 tahun penglibatannya sebagai anak seni. Tiga anaknya turut mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon iaitu Sunny, Bobby dan Esha Deol.














