GEORGE TOWN – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) antara empat lelaki yang direman selama dua dan empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi sindiket pengedaran dadah sejak beberapa tahun lalu.
Pegawai polis berusia 43 tahun itu bersama seorang anggota berpangkat Lans Koperal, 40, dan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, 36, direman selama dua hari sehingga esok.
Manakala seorang lagi merupakan ahli perniagaan berusia 29 tahun direman selama empat hari sehingga Isnin ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Muhammad Azam Md. Eusoff selepas mereka tiba sambil diiringi anggota SPRM.
Perintah reman tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek ditahan oleh SPRM di negeri ini semalam bagi membantu siasatan di mana suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM500,000.
Ia bagi melindungi serta tidak membocorkan maklumat berhubung sindiket pengedaran dadah di sekitar negeri ini sejak beberapa tahun lalu. – K! ONLINE