Keciq menunjukkan lesen ikan kanai pertamanya seberat 5.5kg selepas tiga trip yang gagal, penantian dan kesabarannya selama ini amat berbaloi kerana ikan ini dapat digoda dengan gewang topwater.

Impian ‘lesen’ ikan kanai tertunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LOKASI perhitungannya adalah di Kampung Sri Ganda, Lahad Datu, Sabah. Trip selama lima hari empat malam bersama-sama tujuh rakannya bertujuan memburu salah satu spesies ikan pemangsa yang menjadi gangster di sana iaitu ikan kanai atau tembaring.

Ikan yang turut dinamakan sebagai black bass dalam bahasa Inggeris ini merupakan spesies pemangsa hidup di estuari dan amat tersohor di Papua New Guinea.

Di sana, ia menjadi antara gamefish estuari yang paling digemari terutamanya bagi pemancing Australia.

Kita sebagai pemancing Malaysia sangat bertuah kerana tidak perlu pergi jauh untuk merasa pertarungan dengan gangster muara ini. Ia wujud di negara kita sendiri iaitu di sesetengah estuari di Sabah.

Bukan mudah
Bagaimanapun, memburu ikan kanai ini tidak semudah disangka oleh kebanyakan orang.

Ini kerana banyak faktor yang memberi kesan terhadap kejayaan trip memburunya, terutamanya berkenaan cuaca.

Kesan paling tidak diingini adalah hujan yang turun lebat di bahagian hulu sungai akan menyebabkan air menjadi sejuk dan keruh lantas menutup terus nafsu makan ikan kanai.

Itulah yang berlaku kepada Keciq yang telah menyertai tiga kali trip ke Sabah untuk mendapatkan trofi kanai.

Malangnya, ‘lesen’ yang diharapkan masih gagal diperolehi.

“Trip ke Kampung Sri Ganda ini merupakan percubaan kali keempat saya untuk mendapat lesen ikan kanai. Sudah banyak saya berhabis duit untuk ikan ini, namun masih gagal.

“Sebagai seorang pemancing tegar, ikan kanai perlu ada dalam senarai trofi saya kerana ia duduk di takhta teratas spesies ikan muara,” ujar pemuda yang berasal dari Kulim, Kedah itu.

Perjalanan dari pekan Lahad Datu menuju ke Kampung Sri Ganda mengambil masa sekitar empat hingga lima jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan bertar dan off road ladang kelapa sawit.

Sebaik tiba di sana, Keciq dan rakan-rakannya disambut oleh salah seorang tekong terkenal di Kampung Sri Ganda iaitu Iping.

Dia juga merupakan pemilik inap desa didiami oleh Keciq dan rakan-rakannya sepanjang berada di sana.

Mencari sinar
Keesokan harinya, seawal pukul 6 pagi, empat buah bot sudah menanti di Jeti Sri Ganda.

Setiap bot dinaiki oleh dua orang pemancing dengan seorang tekong.

Pada hari pertama, tiga buah bot termasuk yang dinaiki oleh Keciq bergerak ke lubuk Simpang Empat, manakala sebuah bot menuju ke lubuk Sungai Jeroco.

Ternyata tuah memihak kepada pemancing di atas bot yang pergi ke Sungai Jeroco, apabila salah seorang ahli trip berjaya mendaratkan kanai seberat tujuh kilogram dengan menggunakan gewang topwater jenis pencil.

Sementara itu, tiga lagi bot di Simpang Empat hanya berjaya mendaratkan ikan siakap putih, siakap merah, kerapu dan alu-alu.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Keciq memburu ikan kanai pada hari berikutnya, walaupun dia gagal pada hari pertama.

Aktiviti tipikal ketika memburu ikan kanai di sungai-sungai Sri Ganda adalah memberi tumpuan sepenuhnya mengilat gewang di reba-reba berpotensi.

Pada hari kedua, bot dinaiki Keciq bersama seorang rakannya, kekal mengharapkan keajaiban di lubuk Simpang Empat, di samping mahu mencuba nasib di lokasi Batu

Tinggi Kelukup dan Batu Lawak-lawak yang terkenal sebagai kubu kuat ikan kanai, sementara tiga bot lain terus bergerak ke Sungai Jeroco.

“Memang pelan saya untuk kekal di tempat yang sama pada hari kedua ini.

“Malangnya, sekali lagi saya gagal mendapatkan ikan idaman,” keluh Keciq.

Berbeza pula nasib dengan tiga bot lagi, hampir semua pemancing yang ke sana berjaya mendaratkan ikan kanai.

Menurut Keciq, biasanya Sungai Jeroco airnya keruh, sekali gus menyukarkan pemancing untuk memburu ikan kanai.

Namun kali ini, air di sungai tersebut jernih kerana musim panas dan kering di kawasan Lahad Datu.

Situasi ini menaikkan semangat Keciq untuk mendapat lesen kanai pertamanya di Sungai Jeroco pada hari terakhir trip, jika gagal dia sekali lagi akan pulang dengan tangan kosong.

Akhirnya dapat lesen
Pada hari ketiga, percubaan pada sebelah pagi masih gagal memihak kepada Keciq.

Akhirnya apabila matahari mula menegak di atas kepala, gewang yang disua Keciq di sekitar bangkar kayu tenggelam disambar ikan kanai yang dihajatinya.

Lebih manis, lesen pertamanya itu digoda dengan gewang topwater pencil, sesuatu yang jarang peman­cing lain lakukan kerana ikan ini biasanya dipancing dengan gewang selaman dalam.

Hentaman ikan ini terhadap gewang pencil pasti satu pengalaman yang amat menakjubkan bagi Keciq.

Ikan itu dilawannya menggunakan joran Feed Jungle PE4, kekili Abu Garcia Zata HS-L, tali braided Executed Abrasion X4 65lb dan perambut Kirin Okami 80lb.

Set kuat diperlukan untuk menahan ikan kanai yang terkenal ganas dan sentiasa membenam ke dalam reba.

“Rasa cukup puas kerana akhirnya saya berjaya mendapat­kan lesen ikan kanai dengan saiz memuaskan. Ternyata hentaman ikan ini cukup padu seperti apa yang diceritakan oleh kawan-kawan sebelum ini,” katanya.

Malah, menjelang petang hari terakhir, Keciq berjaya mendaratkan ikan kanai keduanya.

Walaupun kecil, namun tarikannya boleh tahan kuat.

Bagi Keciq, lesen ikan kanai pada trip itu hanyalah satu permulaan, dia pastinya akan kembali lagi selepas ini bagi mendapatkan ikan saiz yang lebih besar lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN