MELAKA – Polis menumpaskan sindiket seluk saku dikenali ‘Geng Guangxi’ selepas menahan lima lelaki warga China yang aktif melakukan kegiatan itu di kawasan pelancongan sekitar negeri ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua suspek berusia 29 hingga 62 tahun itu diberkas dalam beberapa serbuan hasil risikan yang dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka.
Menurut beliau, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan pada 25 April lalu membabitkan seorang pelancong warga China yang kehilangan beg duit berisi wang tunai serta kad kredit ketika berada di Jonker Walk di sini.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menahan dua suspek pada hari sama di sekitar Dataran Pahlawan. Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur pada 29 April lalu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Polis merampas tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg silang, dua dompet, kad pengenalan warga asing dan mata wang asing beberapa negara.-KOSMO! ONLINE














