LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kejayaan pasukannya mara ke pentas final Liga Juara-Juara (UCL) buat kali kedua dalam tempoh 20 tahun sebagai satu detik bersejarah yang luar biasa buat skuad The Gunners.
Pada aksi separuh akhir kedua menentang Atletico Madrid awal pagi semalam, Arsenal berjaya menumbangkan seteru utamanya itu menerusi kemenangan 1-0 sekali gus mengesahkan kemaraan dengan keputusan agregat 2-1.
Jaringan tunggal Bukayo Saka di penghujung babak pertama sudah cukup untuk melunaskan impian Arsenal kembali ke pentas final buat kali pertama sejak edisi 2006.
Menurut Arteta, apa yang dipamerkan oleh barisan pemainnya di Stadium Emirates itu sangat hebat walaupun berdepan tekanan tinggi sepanjang perlawanan.
“Ini adalah detik yang luar biasa. Kami mencipta sejarah bersama dan saya sangat bangga dengan semua pemain.
“Pujian juga wajar diberikan kepada penyokong yang sentiasa bersama kami sepanjang 90 minit. Mereka menjadikan suasana begitu istimewa dan saya tidak pernah merasai aura begitu hebat sebelum ini di Emirates,” katanya.
Lebih manis, Arsenal muncul sebagai satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam kempen UCL musim ini dengan rekod 11 kemenangan dan tiga keputusan seri.
Arteta berkata, rekod tanpa kalah itu akan diteruskan pada aksi final 31 Mei depan dalam misi membantu pasukan menjulang trofi UCL pertama dalam sejarah kelab,” katanya.
“Kami dapat rasakan perubahan dari segi tenaga. Namun, kami perlu kekal fokus kerana cabaran di final nanti sangat sengit,” katanya. – AGENSI














