KLANG – Sembunyi dadah dalam tabung ekzos merupakan antara modus operandi berjaya dipatahkan polis dalam lima siri serbuan baru-baru ini.
Dalam serbuan bermula 23 hingga 29 September lalu di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabak Bernam dan Kajang tersebut berjaya menumpaskan empat sindiket berasingan dengan keseluruhan rampasan dadah 106 kilogram bernilai RM8.4 juta.
Hasil serbuan juga berjaya menahan lima lelaki termasuk dua warga asing berusia 25 hingga 42 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, terdapat sindiket menyorokkan dadah jenis syabu dalam lima tabung ekzos motosikal yang diserahkan polis bantuan sebuah syarikat kurier.
“Hasil siasatan kemudiannya berjaya menahan seorang suspek di sebuah rumah di sekitar Hulu Langat.
“Suspek dipercayai telah mengirim parcel tersebut melalui syarikat kurier ke luar negara,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau memberitahu, penangkapan dua lelaki warga India itu pula membongkar memasuki negara ini hanya untuk bekerja sebagai sindiket dadah.
Ujarnya, semakan mendapati seorang daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen manakala seorang lagi pasportnya telah tamat tempoh.
“Kita masih lagi mengesan siapa yang merekrut kedua-dua ini dengan dadah yang dirampas daripada mereka adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.
Jelas beliau, secara pecahannya dadah yang dirampas melibatkan jenis Ketamin seberat 63.7 kilogram (kg), ekstasi (27.7 kg), bunga ganja (12.3 kg) dan syabu sebanyak 2.5 kg.
“Hasil ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah. Seorang daripadanya juga mempunyai sehingga 16 rekod lampau.
“Kesemua suspek kini direman antara tujuh hingga 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE