TAMPIN – Tiga rakan baik yang merupakan gadis generasi Z mahu membuktikan usaha mereka membuka kebun sayur-sayuran boleh mendatangkan pendapatan yang agak baik jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Mereka ialah Nurul Faizah Mazlan, 26, dari Kuala Terengganu, Nurliyana Ismail, 26, dari Segamat, Johor dan , bagi Nurul Syawalni Hazlin, 25, berasal dari Pontian, Johor mengusahakan kebun sayuran seluas 2.02 hektar dalam kawasan ladang sawit serta getah di Kampung Tenai, Gemencheh sejak tiga tahun lalu.
Pada tahun ini, hasil tuaian kebun yang mereka usahakan hampir mencapai separuh sasaran jualan lima angka.
Dua daripada mereka lulusan Diploma Pengurusan Ladang dan Agriteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin, Melaka.
Menurut Nurul Faizah, mereka bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan dan selepas itu ada pelabur yang percaya dengan keupayaan mereka untuk membangunkan projek berkenaan.
“Keluasan kebun adalah 4.04 hektar, namun buat masa ini kami hanya mengusahakan seluas 2.02 hektar.
“Setakat ini kini menuai hasil kira-kira 900 poli beg cili api bara dan 1,300 beg poli timun, selain nekad mahu membuktikan gadis Gen Z tahan tekanan serta tidak memilih pekerjaan,” katanya kepada ketika ditemui di Kampung Tenai, Gemencheh, di sini semalam.
Ujarnya, walaupun perasaan bimbang ada ketika mula-mula mahu mengusahakan kebun ini, tetapi semangat rakan-rakan untuk berjaya menambahkan keyakinan.
Bagi Nurliyana pula, dia tidak sangka idea untuk membuka kebun dengan usaha sendiri bersama Nurul Faizah memberikan kepuasaan lebih-lebih lagi apabila tanaman mengeluarkan hasil.
“Banyak yang kami belajar di sini, mulanya kami usahakan tanaman kontan seperti terung, kacang panjang dan petola, namun, pasaran cili api bara lebih membuahkan hasil di sini.
“Jadi, dari hanya membazir masa selepas tamat pengajian menunggu kerja, kami nekad meneruskan projek kebun ini dan berharap agar hasil kebun kami akan mendapat pasaran yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, bagi Nurul Syawalni kini lebih giat mencari pembeli terutamanya pekedai, penjual di pasar di sekitar Negeri Sembilan, Johor, serta Selangor.
“Memang diakui sedikit sukar meyakinkan pembeli lebih-lebih lagi mereka terkejut apabila kebun ini diusahakan oleh perempuan malah dalam usia yang muda, tapi, saya mampu yakinkan mereka serta pastikan bekalan akan sentiasa dapat disediakan dalam tempoh yang ditetapkan.














