SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 24,000 liter minyak diesel dalam satu serbuan di sebuah stor berlesen di Simpang Ampat di sini, hari ini.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, hasil serbuan berjaya menemukan sejumlah minyak diesel dengan anggaran hampir 24,000 liter manakala seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun turut ditahan di tempat kejadian.
“Suspek dipercayai mendapatkan bekalan diesel di stesen minyak sekitar negeri ini sebelum dibawa ke stor berkenaan untuk dipindahkan ke tangki di lokasi. Pelbagai barangan dan peralatan termasuklah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita termasuk dua buah skid tank, sebuah lori jenama Ranger kapasiti 18 tan berkepala biru yang telah diubah suai dan sebuah lori tangki kapasiti 21,400 liter dengan nilai keseluruhan RM400,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) dan Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE














