PETALING JAYA – Misi kemanusiaan ke Gaza oleh Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan berdepan detik cemas apabila beberapa bot didakwa dihampiri pihak bersenjata di perairan antarabangsa awal pagi semalam.
Menerusi hantaran akaun Instagram Sumud Nusantara Official, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.10 pagi waktu Malaysia.
Menurut hantaran berkenaan, flotila tersebut dilaporkan sedang melalui laluan berhampiran kawasan luar Greece sebelum dikesan dikepung oleh bot laju yang didakwa milik tentera Israel.
“Flotilla sedang dihampiri. Kebanyakan bot telah diganggu komunikasi,” menurut hantaran itu hari ini.
Menerusi hantaran itu juga memaklumkan terdapat ancaman serangan terhadap para aktivis.
Selain itu, turut didakwa senjata dihalakan ke arah kapal-kapal terbabit dan pancaran laser disasarkan ke arah kru serta peserta misi.
“Flotilla dihampiri oleh bot laju tentera, senjata dihalakan dan laser disasarkn ke arah mereka (peserta GSF),” ujarnya.
Sementara itu, Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, rakaman komunikasi radio daripada salah satu bot GSF mendakwa pemanggil memperkenalkan diri sebagai tentera laut Iz (Israel) dan mengarahkan semua bot supaya berpatah balik.
Menurutnya, pihak berkenaan turut mengeluarkan ugutan untuk mengambil tindakan sekiranya misi tersebut diteruskan.
“(Setakat ini), belum ada kepastian sama ada pintasan telah berlaku, namun beberapa bot masih belum dapat dihubungi,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menyebarkan maklumat mengenai situasi tersebut bagi meningkatkan visibiliti dan keselamatan peserta misi.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan, sebanyak 56 buah kapal GSF memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa dalam misi kemanusiaan ke Gaza. – KOSMO! ONLINE














