PARIS – Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique tergamam ketika menyaksikan sendiri perlawanan hebat apabila pasukannya menewaskan Bayern Munich 5-4 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Enrique mengakui belum pernah melalui detik seperti itu dan sembilan gol yang terhasil menjadi rekod jaringan terbanyak dalam sejarah separuh akhir saingan berprestij peringkat kelab di Eropah.
“Saya tidak pernah melihat perlawanan yang berintensiti seperti ini. Ini bukan masanya untuk kami tunjukkan kelemahan, sebaliknya kami kena mengucapkan tahniah kepada semua orang.
“Menerusi aksi seperti ini, saya menganggap kami berhak menang, seri atau pun kalah. Ia perlawanan yang menarik, tanpa diragukan lagi, ini adalah perlawanan terbaik yang saya pernah terbabit sepanjang bergelar jurulatih,” katanya.
Khvicha Kvaratskhelia dan Ousmane Dembele masing-masing menyumbangkan dua gol buat PSG diikuti satu daripada Joao Neves manakala Bayern menghasilkan jaringan menerusi Harry Kane, Luis Diaz, Michael Olise dan Dayot Upamecano.
Keputusan ini juga tidak memberikan kelebihan buat PSG yang perlu melakukan penambahbaikan sebelum menghadapi perlawanan kedua di Stadium Allianz Arena, minggu depan.
“Saya rasa sangat letih walaupun tidak berlari, jadi saya tidak tahu apa yang dirasakan oleh pemain. Saya bertanyakan kepada kakitangan saya, berapa gol yang mereka fikirkan untuk kami memenangi perlawanan ini.
“Mereka menjawab minimum tiga gol. Namun, ia bukan mudah kerana Bayern sangat kuat di tempat mereka dan kami perlu mengekalkan mentaliti seperti kali ini,” katanya. – AGENSI














