SAAT jutaan hati merindukan Tanah Suci, layar televisyen menjadi jambatan rasa, menghubungkan doa, harapan dan keinsafan tanpa sempadan.
Sedar kandungan televisyen tidak hanya tentang hiburan, sebaliknya tetap ada pengisian sarat makna TV AlHijrah terus memperkukuh peranan sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan membawakan rangkaian kandungan khas sempena musim haji dan Aidiladha 1447H menerusi pelbagai program sarat ilmu, penghayatan rohani serta laporan langsung dari Tanah Suci bermula April hingga penghujung Mei 2026.
Mengangkat tema Arafah: Puncak Munajat & Harapan, stesen tersebut menyusun pengisian istimewa bagi menzahirkan kemuliaan ibadah haji, keinsafan di bumi Arafah serta harapan umat terhadap rahmat dan keampunan Ilahi.
Lebih mengujakan, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, musim kali ini hadir dengan kelainan besar menerusi kemunculan semula Ustaz Don Daniyal Don Biyajid selain penggunaan teknologi masa nyata yang menghubungkan jemaah di Tanah Suci terus ke skrin penonton.
Kehadiran semula figura dakwah popular itu menerusi program LabbaikallahTalbiah Haji bersama Ustaz Don dilihat sebagai simbol kematangan dalam menguruskan personaliti dakwah, selari bimbingan pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
“Alhamdulillah, perbincangan telah dimuktamadkan dan Ustaz Don sudah bertemu Mufti Wilayah Persekutuan serta Ketua Pengarah JAKIM. Segala perbincangan berjalan lancar dan beliau masih memegang tauliah di Wilayah Persekutuan.
“Kami sememangnya menanti-nantikan kemunculan semula beliau. Kita ada pelbagai perancangan. Fokus awal memang untuk musim haji, namun selepas itu akan ada kesinambungan lain.
“Tahun ini boleh dikatakan sangat sibuk buat kami dengan pelbagai penambahbaikan program dan kami menantikan impak besar daripada penampilan semula beliau,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas kebimbangan ramai tentang kemungkinan ‘pisang berbuah dua kali’, Namanzee tampil tenang dengan keyakinan berpaksikan restu pihak berautoriti.
“Tipulah jika kami tidak meletakkan harapan tinggi. Ustaz Don lahir dari TV AlHijrah. Ketika dia diuji, kami sentiasa mendoakan. Kini dirasakan masa paling sesuai untuk kembali selepas melalui fasa bertenang serta pertemuan dengan pihak autoriti.
“Dia mendapat restu daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan Ketua Pengarah JAKIM, dua institusi besar di peringkat Persekutuan. Paling penting kami tidak pernah ‘gam’ beliau.
“Sebaliknya, kami memahami keperluan tempoh bertenang dalam sesuatu isu. Kini tempoh itu sudah selesai.
“Melihat sambutan orang ramai, jelas ramai menanti-nantikan kemunculan beliau. Segala kerisauan sebelum ini, insya-Allah telah dileraikan,” ujarnya.
Selain kemunculan Ustaz Don, pelbagai program menarik turut disusun termasuk Interaktif Haji bersiaran sejak 20 April lalu menampilkan Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf dengan pendekatan praktikal serta interaktif bersama pengacara Zaim Zamani.
Program Kisah Mutawif pula menemani penonton setiap Khamis dan Jumaat bersama Ustaz Izzhar Nazri, menyelami kisah sebenar pengorbanan dan perjalanan spiritual para jemaah.
Tidak ketinggalan, Diari Labbaikallah mula bersiaran 11 Mei nanti membawa laporan langsung dari Mekah agar penonton dapat merasai suasana ibadah secara dekat.
Kemuncak pastinya siaran langsung Munajat Arafah pada 26 Mei pukul 5 petang, disusuli Khutbah Arafah 2026 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan kepada jemaah haji Malaysia.
Dalam meraikan Aidiladha, program Peristiwa Hari Tasyrik yang bersiaran pada 28 hingga 30 Mei akan mengupas hikmah hari-hari Tasyrik serta pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Sepanjang musim ini juga, rancangan pagi Assalamualaikum terus membawakan segmen khas haji, manakala Berita AlHijrah menyajikan laporan harian musim haji dengan maklumat sahih daripada Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi.
Program sebegini diharapkan menjadi jambatan rohani, mendekatkan penonton tanah air dengan detik penting umat Islam di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE














