GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di beberapa kampung di Pos Simpor di sini bertindak nekad apabila membina sekatan bagi menghalang perjalanan kenderaan yang terlibat dalam aktiviti pembalakan di kawasan tanah dan wilayah adat Bereglag di sini kelmarin.
Pengerusinya, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, pembalakan tidak terkawal akan menjejaskan kehidupan komuniti dan keseimbangan alam sekitar di kawasan tersebut.
Katanya, penduduk sebelum ini pernah mendirikan sekatan di lokasi sama, namun dirobohkan oleh pihak berkuasa pada 12 Februari lalu kerana didakwa menghalang laluan kenderaan bagi tujuan operasi pembalakan.
“Kami membantah sebarang operasi pembalakan kerana menjejaskan ekosistem termasuk kampung lama dan tapak perkuburan nenek moyang.
“Sebuah syarikat didakwa masih meneruskan operasi dengan membina kongsi balak di kawasan Sungai Bereglag melibatkan keluasan kira-kira 99 hektar walaupun bantahan telah dikemukakan sebelum ini,” katanya.
Nur Mohd. Syafiq Dendi mendakwa, pihaknya telah mengambil beberapa langkah seperti pemantauan di kawasan kongsi, mengadakan perbincangan dan membuat laporan polis.
Bagaimanapun tambahnya, pihak berkenaan masih meneruskan aktiviti pembalakan walaupun dibantah penduduk.
“Kami akan terus pertahankan tanah adat dan tolong hormatinya. Sumber air turut terjejas,” katanya.














