ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Pegoh di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut melibatkan sebuah Perodua Myvi, Proton Saga dan motosikal Yamaha 135LC.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu lelaki berusia 19 tahun dari arah Simpang Ampat menghala ke Alor Gajah dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang lampu di pembahagi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, tiang lampu berkenaan tumbang dan melintang di laluan bertentangan sebelum dirempuh Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 50 tahun dari arah Alor Gajah menuju ke Simpang Ampat. Pada masa sama, penunggang Yamaha 135LC dari arah sama kemudiannya melanggar bahagian sisi kanan kereta tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi cedera di bahagian perut dan kaki kanan sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut, bagaimanapun, pemandu Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














