fbpx
Tangkap layar aksi sesi fotografi pengantin bersama letupan mercun di awal pagi di Setia Alam, Shah Alam.

Polis ‘buru’ individu lepas 100 das mercun pukul 1 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang membakar 100 das mercun ketika sesi fotografi pengantin sehingga mengganggu ketenteraman awam di Setia Alam, di sini baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.05 pagi pada Ahad lalu apabila aktiviti tersebut dikesan menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit 50 saat yang kemudiannya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, video berkenaan memaparkan pembakaran antara 50 hingga 100 das mercun yang dilakukan dalam tiga siri secara berturut-turut.

“Gangguan itu dipercayai berulang pada keesokan hari iaitu Isnin lalu kira-kira pukul 2.11 pagi di lokasi sama.

“Siasatan awal mengesahkan kejadian berlaku di kawasan parkir awam Setia Alam Community Trail selepas pihak polis menerima laporan pukul 8.26 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

Tambahnya, usaha mengesan dan menangkap suspek terlibat sedang dijalankan pihaknya.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 0192522905 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN