fbpx
Khairul Firdaus merasmikan Global Travel Meet 2025 di WTC Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Global Travel Meet 2025: Malaysia sasar jadi hab pelancongan serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia meletakkan sasaran untuk muncul sebagai hab pelancongan serantau menerusi penganjuran Global Travel Meet 2025, yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh pelancongan, perdagangan serta pertukaran budaya di rantau ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, acara selama tiga hari bermula hari ini bukan sekadar perhimpunan, sebaliknya menjadi medan strategik untuk membentuk hala tuju baharu pelancongan negara.

“Hari ini bukan sekadar satu tarikh dalam kalendar, dan bukan juga sekadar satu acara. Ia adalah satu detik yang melangkaui sempadan Malaysia.

“Kita berkumpul bukan hanya untuk meraikan, tetapi untuk menghadapi tugas sebenar dalam membina masa depan pelancongan negara,” katanya ketika berucap di Global Travel Meet 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan acara ini sebagai pencapaian diplomatik yang signifikan dengan menghimpunkan lebih 600 pembeli, 400 penjual dan 100 media antarabangsa di bawah satu bumbung, selepas hampir dua dekad penganjurannya oleh Tourism Malaysia pada 2007.

Katanya, acara ini turut mendapat sokongan strategik daripada Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysian Indian Tour & Travel Association (MITTA), selain kerjasama rapat syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia.

Dari segi prestasi, Khairul Firdaus berkata, Malaysia mencatatkan 38 juta pelawat antarabangsa pada 2024 iaitu meningkat 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Januari hingga Julai 2025 sahaja, negara telah menerima 24.5 juta pelawat antarabangsa, dengan pasaran utama termasuk Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.

“Walaupun angka ini mengagumkan, apa yang benar-benar membezakan kita adalah visi kita. Menuju ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026, kempen paling besar setakat ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI