fbpx
PELAYARAN turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian tradisional Sarawak.

Pelayaran santai kenali wajah Kuching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENJA di Kuching, Sarawak sering membawa suasana yang tenang, lembut dan penuh nostalgia, sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Di tengah aliran Sungai Sarawak, pengalaman menaiki Sarawak River Cruise menjadi antara cara paling menarik untuk melihat wajah bandar ini dari perspektif yang berbeza.

Di sebelah kanan, berdiri megah deretan bangunan kolonial dan hotel yang mencerminkan wajah moden bandar Kuching serta perkembangan industri yang pesat.

Sementara di sebelah kiri pula, tersingkap pemandangan perkampungan nelayan yang sederhana, memperlihatkan sisi kehidupan tradisional yang masih kekal dan penuh keaslian.

Menurut pemandu pelancong Kuching yang mesra dengan panggilan David, setiap perjalanan mengambil masa kira-kira satu hingga satu setengah jam bergantung kepada pakej.

“Di atas bot, penumpang disediakan tempat duduk yang selesa dan ruang terbuka untuk melihat panorama sungai dengan jelas.

“Kebanyakan pelayaran turut menyediakan minuman ringan serta snek tempatan selain sesi penerangan mengenai sejarah dan bangunan yang dilalui sepanjang sungai, menjadikan pengalaman ini bukan sekadar santai tetapi juga informatif,” katanya kepada CitaRasa.

PENGUNJUNG melihat keindahan bandar Kuching sambil menyusuri sungai Sarawak.

Terdapat dua pilihan utama untuk penumpang iaitu bot terbuka (open deck) yang membolehkan pengalaman lebih dekat dengan angin sungai serta panorama tanpa halangan.

Sementara itu, bot berhawa dingin (air-conditioned cabin) pula lebih selesa dan tertutup, sesuai untuk mereka yang mahu menikmati perjalanan dalam suasana yang lebih sejuk dan santai.

Dari segi operasi, perkhidmatan ini berlepas dari jeti utama di Waterfront Kuching dan dijalankan secara berjadual setiap hari, tertakluk kepada keadaan cuaca dan jumlah penumpang.

Menambah lagi keunikan pengalaman ini, sesetengah pelayaran turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian tradisional Sarawak.

PENULIS (dua dari kiri) bergambar kenangan dengan rakan-rakan.

Antara yang paling kerap ditampilkan ialah kaum Iban yang terkenal dengan tarian ngajat iaitu tarian pahlawan yang penuh semangat.

Selain itu, turut dipersembahkan tarian Bidayuh yang lebih lembut dan menggambarkan kehidupan komuniti di kawasan tanah tinggi. Tidak ketinggalan, budaya Melayu Sarawak juga sering diketengahkan melalui tarian seperti zapin atau persembahan berirama yang mencerminkan kehalusan seni tradisional mereka. 

Dalam sesetengah keadaan, persembahan ini turut mengetengahkan elemen budaya Melanau atau etnik lain, bergantung pada jadual dan kumpulan persembahan yang terlibat.

Tambah David, sepanjang perjalanan, penumpang juga berpeluang melihat beberapa mercu tanda penting yang menjadi simbol bandar Kuching.

“Di sepanjang sungai ini, pengunjung akan diperkenalkan dengan bangunan ikonik termasuk Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Astana, Fort Margherita dan Tiang Bendera Ibu Pertiwi.

“Selain itu, pelayaran ini turut membawa penumpang melewati beberapa jambatan ikonik yang merentasi sungai termasuk Jambatan Darul Hana.

“Jambatan pejalan kaki berbentuk lengkung itu menghubungkan Kuching Waterfront dengan kawasan seberang sungai dan menjadi antara lokasi fotografi popular di bandar raya ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN