MARANG – Dilahirkan dengan berat hanya 565 gram dan saiz fizikal dianggarkan sebesar tapak tangan, seorang bayi lelaki berusia empat bulan membuktikan keajaiban apabila membesar dengan baik dan berjaya melawan pelbagai komplikasi kesihatan.
Muhammad Rayqal Rizqi Mohd. Fadir dilahirkan secara pramatang ketika usia kandungan ibunya mencecah 31 minggu di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 1 Februari lalu.
Ibunya, Siti Zakiah Mamat, 39, berkata, masalah tumbesaran anaknya yang mesra dipanggil Rayqal dikesan sewaktu pemeriksaan kandungan pada usia 24 minggu yang mendapati perkembangan bayi tidak seiring dengan usia sebenar kehamilan.
“Doktor pada masa itu memutuskan saya perlu menjalani pemantauan setiap dua minggu di HSNZ ekoran tumbesaran kandungan yang terlalu perlahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rhu Dua di sini semalam.
Siti Zakiah berkata, sebaik sahaja dilahirkan, Rayqal terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan ditempatkan di dalam inkubator hampir empat bulan tanpa sempat di dakap atau dilihat dengan lebih dekat.
“Saiznya ketika itu hanya sebesar tapak tangan. Bila teringat semula, memang tidak sangka dia mampu bertahan sehingga hari ini,” katanya yang pernah mengalami tiga kali keguguran sebelum Rayqal dilahirkan.
Siti Zakiah berkata, dugaan tidak berhenti apabila Rayqal mengalami komplikasi Necrotising Enterocolitis (NEC) yang menyebabkan kebocoran usus sewaktu baru berusia 10 hari dengan berat cuma 600 gram.
“Keadaan itu memaksa bayi lelakinya menjalani pembedahan major laparotomi kecemasan. Luluh hati saya melihat bayi sekecil itu perlu melalui pembedahan besar, namun kami hanya mampu berdoa dan menyerahkan segalanya kepada Allah.
“Dia (Rayqal) sekali lagi menjalani pembedahan untuk proses penutupan stoma pada usia tiga bulan. Alhamdulillah, kedua-dua prosedur berkenaan berjaya dilaksanakan dengan selamat,” katanya.
Siti Zakiah berkata, meskipun Rayqal yang kini seberat tiga kilogram kini sudah dibenarkan pulang ke rumah, bayinya masih memerlukan rawatan susulan berkala serta pengambilan tujuh jenis ubat bagi membantu proses tumbesarannya.
Apapun, dia dan suami, Mohd. Fadir Ahmad, 40, sangat berterima kasih kepada pasukan doktor, jururawat dan petugas kesihatan HSNZ yang banyak membantu serta sentiasa berkongsi perkembangan keadaan anaknya sepanjang dirawat di NICU.
“Sekarang saya hanya berharap Rayqal terus membesar dengan sihat dan kuat. Melihat dia tersenyum di rumah bersama kakaknya, Dhia Nur Sofia yang berusia tujuh tahun, sudah cukup menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.














