NILAI – Kos penjagaan anak yang semakin meningkat mendorong ibu bapa memilih pusat asuhan atau pengasuh tidak berdaftar yang kosnya lebih murah.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Profesor Adjung Norsheila Abdullah, berkata keadaan itu dijangka bertambah buruk dalam tempoh lima tahun akan datang dan permintaan terhadap pusat jagaan tidak berdaftar terus meningkat.
Perkara itu disebabkan cabaran ekonomi dan kos operasi taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak ditangani dengan baik.
Kata beliau, banyak taska berdaftar kini berdepan tekanan kewangan sehingga ada yang terpaksa tutup operasi, menyebabkan ibu bapa beralih kepada perkhidmatan jagaan yang lebih murah tetapi tidak berdaftar.
“Apabila taska berdaftar ditutup, lebih ramai ibu bapa hantar anak kepada pengasuh yang tidak terlatih atau tidak berdaftar kerana faktor kos.
“Akhirnya kanak-kanak jadi pihak yang paling terdedah kepada risiko pengabaian dan isu keselamatan,” katanya ketika ditemui pada Simposium Sifar Penderaan Kanak-Kanak di Taska anjuran Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia di USIM, baru-baru ini.
Norsheila menegaskan semua individu yang menawarkan perkhidmatan jagaan kanak-kanak secara berbayar wajib berdaftar mengikut peruntukan undang-undang yang
ditetapkan.
Katanya, ibu bapa yang pilih perkhidmatan tidak berdaftar turut menyumbang kepada kewujudan operasi haram, selain berdepan kemungkinan tindakan mengikut peruntukan sedia ada.
“Tekanan kos sara hidup memang menyebabkan ada ibu bapa mencari alternatif lebih murah, namun aspek keselamatan, kebajikan dan perkembangan kanak-kanak tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau turut berkata, masih ramai pengusaha taska kurang memahami tanggungjawab perundangan walaupun sektor itu tertakluk kepada pelbagai akta dan peraturan berkaitan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan lebih banyak bengkel dan simposium berkaitan aspek perundangan dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha dan pengasuh.
Pada masa sama, Norsheila berkata, kerjaya pengasuh memerlukan minat, kesabaran dan komitmen tinggi.














