SEMAKIN maju dunia, semakin kreatif minda manusia menghasilkan pelbagai benda baharu termasuk resipi makanan.
Saban hari pasti ada sahaja menu baharu dihasilkan sehingga menjadi ikutan dan kegilaan ramai.
Trend tersebut bukan baru muncul dua tiga hari lalu tetapi semakin meledak sejak sedekad lalu.
Sekiranya kena dengan tekak pembeli, akan bertahan lama namun jika sebaliknya, menu tersebut akan lenyap dalam tempoh yang singkat.
Baru-baru ini, sekali lagi penulis melihat beberapa makanan diolah dengan pelbagai cara untuk menarik perhatian ramai sekali gus bagi mengejar viral.
Salah satunya ialah laksa yang umum tahu berasaskan ikan tetapi kali ini dicampur dengan elemen matcha atau serbuk teh hijau.
Selalunya dibancuh menjadi minuman tetapi lain pula dilakukan seorang peniaga baru-baru ini sehingga meraih kecaman ramai kerana merosakkan makanan yang sudah sedia ada enak.
Mungkin mahu mencari pembaharuan tetapi perlu sedar tidak semua makanan perlu di ‘matcha’ kan meski minuman berasaskan teh hijau itu sedang trending terutama dalam kalangan generasi muda ketika ini.
Bukan sahaja matcha tetapi beberapa bahan lain seperti kacang pistachio juga antara yang menjadi kegilaan segelintir pihak dalam menghasilkan menu pelik.
Itu termasuklah ikan keli goreng pistachio dan sate pistachio. Kedengaran seperti tidak masuk akal tetapi itulah realiti dilakukan segelintir peniaga yang mungkin mahu mengejar viral.
Bagi cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, menghasilkan sesebuah resipi memerlukan logik dan mengambil kira kebolehterimaan orang ramai.
Ujarnya, bukan semua makanan boleh dicampur dengan bahan-bahan asing yang boleh melenyapkan keenakan aslinya.
“Dalam menghasilkan sesebuah resipi beberapa faktor perlu diambil kira iaitu logik, rupa dan rasa serta penerimaan orang ramai.
“Memang kita akan cuba buat sesuatu yang viral tetapi semuanya bergantung kepada nasib. Selalunya bila ada makanan yang ditukar warna, nampak tidak menyelerakan.
“Setiap makanan wajib menjalani inovasi dan penyelidikan (R&D) dan perlu bijak mengendalikan bahan-bahan tambahan dalam proses penghasilan resipi,” katanya.
Ujarnya, individu yang menghasilkan sesebuah menu juga perlu mempunyai ilmu dalam bidang kulinari bagi memastikan makanan tersebut sesuai untuk dimakan.
“Perlu ada sedikit pendidikan supaya penghasilan resipi itu tidak nampak nampak bodoh.
“Kita mahu makanan itu disanjung, bukannya dihina. Jangan kerana penghasilan resipi-resipi yang sekadar mengajar viral, makanan itu dihina kerana dilihat buruk sehingga nampak menggelikan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














