fbpx
INTEGRASI antara TNG eWallet dan Eastel tersebut memperluas ekosistem digital pengguna dan membolehkan pelbagai fungsi dilakukan menerusi hanya satu aplikasi.

Kekal buat transaksi ketika kekangan data kuota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM era digital yang semakin berkembang pesat, pengguna bukan sahaja mahukan teknologi yang canggih, malah mengutamakan kemudahan dan pengalaman yang lancar dalam menguruskan pelbagai aspek kehidupan harian.

Menyedari keperluan tersebut, pengendali aplikasi perkhidmatan kewangan digital dan gaya hidup TNG Digital Sdn. Bhd. menerusi TNG eWallet, terus memperkukuh ekosistem digitalnya menerusi kerjasama strategik bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi digital, Eastel.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni, kerjasama yang diumumkan baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam usaha TNG Digital menjadikan TNG eWallet sebagai teman digital harian yang lebih menyeluruh.

“Melalui integrasi tersebut, pengguna kini boleh melanggan pelan prabayar Eastel Mobile, menukar nombor telefon sedia ada, mengurus pelan langganan serta melakukan tambah nilai secara terus menerusi aplikasi TNG eWallet tanpa perlu beralih kepada platform lain.

“Perkembangan itu selari dengan perubahan gaya hidup masyarakat moden yang semakin bergantung kepada pelbagai perkhidmatan digital,” katanya menerusi perkongsian e-mel kepada K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, jika sebelum ini pengguna perlu menggunakan beberapa aplikasi berbeza untuk membuat pembayaran, mengurus kewangan, menempah perjalanan, menebus ganjaran atau mengendalikan perkhidmatan telekomunikasi, kini sebahagian besar keperluan tersebut dapat disatukan dalam satu aplikasi yang lebih praktikal dan mudah diakses.

Kongsinya lagi, pengguna masa kini tidak lagi melihat sesuatu perkhidmatan berdasarkan kategori tertentu, sebaliknya mereka mahukan pengalaman digital yang saling berkait dan berfungsi secara lancar.

“Sambungan internet dan perkhidmatan mudah alih kini menjadi keperluan asas dalam kehidupan seharian, namun proses pengurusan perkhidmatan tersebut masih sering berlaku secara berasingan menerusi pelbagai platform.

“Melalui kerjasama dengan Eastel, kami berusaha menjadikan pengurusan perkhidmatan mudah alih lebih mudah diakses dan lebih lancar untuk diuruskan secara terus dalam aplikasi TNG eWallet,” ujarnya.

Alan turut menjelaskan bahawa TNG Digital sentiasa berusaha memperluaskan peranan TNG eWallet dalam kehidupan rakyat Malaysia.

TNG Digital sentiasa berusaha memperluas peranan TNG eWallet dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Daripada fungsi pembayaran dan perkhidmatan kewangan, aplikasi itu kini berkembang merangkumi aspek perjalanan, ganjaran, gaya hidup serta sambungan telekomunikasi, sekali gus mengurangkan kerumitan pengguna dalam menguruskan pelbagai keperluan digital harian.

Sebelum ini, pengguna sememangnya boleh membuat tambah nilai prabayar atau membayar bil telefon secara digital.

Namun, proses yang lebih menyeluruh seperti pendaftaran pelan baharu, pemindahan nombor telefon dan pemantauan penggunaan data lazimnya masih memerlukan aplikasi atau platform berasingan. Integrasi Eastel dalam TNG eWallet berjaya menggabungkan semua fungsi tersebut dalam satu ekosistem yang lebih lengkap dan mesra pengguna.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua syarikat turut memperkenalkan pelan prabayar eksklusif yang hanya ditawarkan kepada pengguna TNG eWallet.

Pelan tersebut menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi pada harga bermula serendah RM25 sebulan, sekali gus memberikan nilai yang kompetitif kepada pengguna yang mengutamakan keseimbangan antara kos dan prestasi.

Menariknya, pelan yang ditawarkan tidak mengenakan had kelajuan penggunaan data. Selain itu, pengguna masih akan menerima akses internet asas sebanyak 5GB selepas kuota utama habis digunakan.

“Kemudahan tersebut bertujuan memastikan pengguna kekal berhubung dengan pelbagai perkhidmatan digital penting termasuk pembayaran tanpa tunai, transaksi kewangan dan akses kepada aplikasi harian walaupun ketika berdepan kekangan kuota data.

“Bagi meraikan pelancaran perkhidmatan tersebut, TNG Digital dan Eastel turut menawarkan ganjaran pulangan tunai sehingga RM10 kepada pengguna yang mendaftar pelan terpilih melalui TNG eWallet dalam tempoh promosi yang ditetapkan,” tambah Alan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN