BOSTON – Mesin gol Norway, Erling Haaland berazam untuk terus menyinar apabila pasukannya menentang Iraq pada aksi pembukaan mereka di Piala Dunia pagi esok.
Penyertaan Norway pada pusingan akhir kali ini menamatkan penantian hampir tiga dekad mereka untuk kembali ke kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Penyerang tinggi lampai itu menjaringkan 16 gol dalam lapan perlawanan kelayakan Piala Dunia dan turut mencatat 27 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu bersama Manchester City.
Menerusi sokongan barisan pemain berbakat seperti kapten dan perancang tengah Martin Odegaard serta pemain sayap Antonio Nusa dan Oscar Bobb, Haaland mahu meningkatkan peluangnya untuk memenangi Anugerah Kasut Emas Piala Dunia.
Sebelum itu, Norway perlu mengharungi cabaran Perancis, Iraq dan Senegal yang berada dalam kumpulan sama dan dianggap sengit untuk merebut dua slot automatik ke pusingan 32 terbaik nanti.
Selain Haaland, Norway juga sedikit lega apabila dua lagi penggempur mereka, Alexander Sorloth dan Thelo Aasgaard selepas kedua-dua mereka mengumpul sembilan gol keseluruhan dalam kempen kelayakan sebelum ini.
Sementara itu, pengendali Norway, Stale Solbaken mendedahkan bahawa penyerang utamanya itu berada pada prestasi terbaik dengan menunjukkan ketajaman luar biasa ketika sesi latihan.
“Kami telah mengadakan sesi latihan dan Erling telah menjaringkan gol yang cukup mengagumkan menerusi rembatan lambung dari jarak 20 meter yang luar biasa.
“Saya percaya gol tersebut mampu diiktiraf sebagai jaringan terbaik dunia sekiranya ia berlaku dalam perlawanan kompetitif. Penjaga gol kami mungkin mengalami kecederaan jika dia membuat pilihan menghalang sepakan tersebut,” katanya.
Solbaken turut mendedahkan situasi pemain tengahnya, Martin Odegaard yang dianggap sudah kembali ke prestasi terbaiknya dan bersedia untuk menjadi ‘jeneral padang’ untuk Norway menjerat Iraq pada aksi itu nanti. – AGENSI














