fbpx
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dan Mohammed Azman (dua kanan dari tengah) pada WSSF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

WSSF titik penting penentuan hala tuju perlindungan sosial global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 disifatkan sebagai titik penting bagi menentukan hala tuju perlindungan sosial global dalam mendepani cabaran abad ke-21.

Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz berkata keselamatan sosial bukan sekadar dasar atau sistem pentadbiran.

Sebaliknya, beliau berkata ia melibatkan soal maruah serta janji bahawa tiada individu akan dibiarkan sendirian apabila berdepan usia lanjut, penyakit, kemalangan atau ketidakpastian hidup.

“Forum ini bukan sahaja meraikan ulang tahun keseratus ISSA tidak lama lagi, tetapi menjadi mercu tanda untuk memperbaharui komitmen global.

“Kita perlu beralih daripada langkah beransur-ansur kepada lompatan berani,” katanya ketika berucap di WSSF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Mohammed Azman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menekankan bahawa jurang liputan perlindungan sosial dunia masih ketara dengan 3.8 bilion orang tidak menerima sebarang manfaat.

“Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan negara berpendapatan tinggi telah mencapai 86 peratus liputan, berbanding kurang 10 peratus di negara miskin,” katanya.

Menurutnya, perubahan demografi seperti penuaan penduduk, selain kesan perubahan iklim, pandemik, gangguan teknologi serta ketidaktentuan geopolitik, menuntut sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, fleksibel dan mampan.

“Perlindungan sosial tidak boleh hanya bertindak selepas krisis berlaku. Ia mesti bersedia terlebih dahulu, cukup kuat untuk menampung, dan cukup pantas untuk memulihkan semula kehidupan masyarakat,” tegasnya.

Bagi Malaysia, beliau memuji inisiatif kerajaan yang mengiktiraf pekerja gig dalam kerangka undang-undang melalui usaha Kementerian Sumber Manusia, sekali gus menjadikan negara ini sebagai rujukan antarabangsa.

“Ini bukan sekadar pencapaian nasional, tetapi piawaian emas untuk negara lain yang mahu memastikan pekerja ekonomi platform juga mendapat perlindungan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa WSSF 2025 mesti menghasilkan komitmen bersama yang konkrit, termasuk usaha mempercepat liputan sejagat serta merapatkan jurang perlindungan antara negara kaya dan miskin.

Malaysia tahun ini menjadi tuan rumah buat WSSF yang berlangsung selama lima hari sehingga 3 Oktober depan.

Mengangkat tema ‘Shaping Social Security for a World in Transition’, penganjuran forum ini disertai lebih 2,000 peserta hadir dari 133 negara.

Ia dianjukan oleh ISSA dengan kerjasama Perkeso, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI