fbpx
Armizan (tengah, depan) melakukan gimik perasmian Hari Harta Intelek Negara 2026 di Petaling Jaya semalam.

MyIPO NEXTGEN lonjak harta intelek ke tahap komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerangka transformasi MyIPO NEXTGEN dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh agenda pengko­mersialan harta intelek negara sekali gus menjadikan aset intelek sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan strategik lima tahun bagi tempoh 2025 hingga 2030 itu memberi fokus kepada peralihan fungsi harta intelek daripada sekadar ­instrumen perlindungan undang-undang kepada aset strategik negara.

Menurut beliau, transformasi itu digerakkan menerusi tiga teras utama iaitu pemodenan perundangan, pendigitalan perkhidmatan dan pengkomersialan harta intelek.

“Transformasi ini adalah komponen kritikal dalam menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Fokus ini bukan sahaja memacu kedaulatan teknologi tempatan, malah memastikan harta intelek menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selaras dengan matlamat ekonomi Madani yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 di sini semalam.

Armizan berkata, sambutan itu diadakan bersempena Hari Harta Intelek Sedunia yang disambut setiap 26 April bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dalam memacu inovasi dan kreativiti.

Katanya, tema “IP & Sukan: Dari Idea ke Podium” dipilih tahun ini untuk menonjolkan hubungan rapat antara harta intelek dan pembangunan industri sukan.

“Dunia sukan hari ini bukan sahaja medan persaingan fizikal dan semangat juang atlet, malah digerakkan oleh ekosistem inovasi berpaksikan harta intelek,” ujarnya.

Mengulas statistik semasa, beliau berkata, Malaysia merekodkan sebanyak 15,350 permohonan paten dan 115,852 permohonan cap dagangan bagi tempoh 2024 hingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 118 permohonan paten berkaitan bidang sukan direkodkan, manakala 1,812 permohonan cap dagangan diterima melibatkan produk dan perkhidmatan sukan.

“Sebanyak 28.5 peratus daripada jumlah permohonan cap dagangan berkaitan sukan itu merupakan permohonan cap dagangan tempatan,” katanya.

Sementara itu, kejayaan pemenang pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026 menerusi enam ka­tegori utama dan tiga kategori khas membuktikan inovasi tempatan semakin mendapat pengiktirafan dan berpotensi.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sawal Hamid Md. Ali yang meraih Anugerah Perak bagi kategori Organisasi Terunggul Harta Intelek (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) berkata, pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada budaya inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Anugerah ini menjadi satu platform yang akan mengga­lakkan rakyat berinovasi dan smenghasilkan produk sendiri,” katanya.

Bagi kategori Juara Jenama (Cap Dagangan), Pengarah Pembangunan Produk Monsta, Safwan Karim yang membawa pulang Anugerah Emas berkata, kemenangan menerusi produk BoBoiBoy Watch membuktikan karya animasi tempatan mampu berkembang menjadi produk komersial sebenar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN