GEORGE TOWN – Musim durian kali ini dijangka akan mengalami lambakan berikutan pokok yang berusia lebih 40 tahun berbuah melebihi jangkaan dan luar biasa.
Ketika ini, rata-rata penggemar durian asli negeri itu dikatakan sudah tidak senang duduk dan sedaya upaya mendapatkan buah dari pokok-pokok tua kerana berbuah banyak berbanding kebiasaan.
Ada dalam kalangan pemilik dusun di Balik Pulau dan Sungai Ara di sini mendakwa pokok lebih tua akan menghasilkan buah yang lebih sedap kerana kualiti dan nutrien yang disalurkan pada buah lebih stabil berbanding pokok muda.
Bagi pemilik dusun, Kenny Soong Joon Sin, 51, jangka hayat pokok durian terutama buah kahwin memainkan peranan penting dalam penghasilan buah yang lebih enak dan berkualiti tinggi.
“Disebabkan itu, pemilik dusun akan tingkatkan lagi penjagaan pokok berusia 15 tahun ke atas dan pengawasan di sekitar kawasan dusun bagi mengelak serangan makhluk perosak atau kejadian tidak diingini yang mampu merencatkan pengeluaran serta penghasilan buah.
“Sejak buah pertama luruh pada 8 April lalu, boleh dikatakan ramai pelanggan mencari buah-buah dari pokok tua. Mereka pun tahu, makin tua usia pokok durian, makin sedap isi buahnya.
“Rasanya yang pelbagai iaitu pahit, manis, lemak, isinya pula besar, halus dan sedikit kasar selain bau buah lebih wangi, itu yang membuatkan buah dari pokok tua ini begitu eksklusif dan digemari ramai,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Bagaimanapun katanya lagi, hanya pemilik dusun sahaja yang mengetahui dan mahir membezakan buah-buah yang dihasilkan dari pokok tua.
“Hal ini juga membuatkan ramai pelanggan tertanya-tanya mana buah dari pokok tua setiap kali berkunjung ke gerai. Malah, disebabkan itu jugalah pelanggan sanggup membeli buah premium semata-mata mahu merasai keenakan buah durian asli dari pokok yang sudah berusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kenny memberitahu, pihaknya juga menjangkakan berlaku lambakan durian pada musim ini berbanding pengeluaran buah pada tahun lalu.
“Durian sangat menjadi pada kali ini. Nampaknya akan berlaku penurunan harga buah, tetapi ia bergantung pada hasil pengeluaran dan permintaannya nanti.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kehangatan raja buah di Balik Pulau sudah mula terasa apabila ramai yang sanggup berebut giliran semata-mata mahu menjadi individu terawal menikmati buah ‘mula’ itu.
















