SUKAN adalah bidang yang bukan sahaja diminati ramai, malah sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia sekali gus antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Di sebalik kejayaan itu, wujud inovasi, kreativiti dan harta intelek (IP) yang bukan sekadar perlindungan undang-undang, bahkan turut membantu menjana pendapatan dan memacu ekonomi negara.
Justeru Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kali ini membawa perspektif baharu menerusi Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2026 dengan tema ‘Harta Intelek Nadi Malaysia Madani – IP & Sukan: Dari Idea ke Podium’ bermula Selasa dan berakhir semalam.
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, tema tahun ini dipilih bagi mendekatkan konsep IP dengan rakyat, khususnya melalui industri sukan yang semakin berkembang dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.
“Selama ini ramai menganggap IP hanya berkaitan perlindungan semata-mata, tetapi kini ia boleh menjana pendapatan melalui pengkomersialan idea, kandungan dan penjenamaan.
“Daripada kasut larian berteknologi tinggi, reka bentuk basikal aerodinamik, logo pasukan, kandungan siaran langsung, hak penyiaran, aplikasi kecergasan hinggalah kepada strategi penjenamaan atlet, semuanya mempunyai elemen IP,” katanya.
Beliau menjelaskan, apabila idea-idea ini dilindungi melalui paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta, ia bukan sahaja membantu prestasi sukan, tetapi juga mencipta nilai ekonomi yang besar.
“Data MyIPO bagi tempoh 2024 hingga 2025, sebanyak 118 permohonan paten berkaitan bidang sukan telah diterima, bersamaan purata 59 permohonan setahun.
“Dalam tempoh sama, dianggarkan 1,812 permohonan cap dagangan berkaitan produk dan perkhidmatan sukan turut diterima.
“Angka ini menunjukkan bahawa sektor sukan semakin berkembang sebagai ruang inovasi dan aktiviti komersial yang bernilai tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, HHIN 2026 sangat bermakna apabila ia mengubah persepsi bahawa IP bukan sekadar urusan dokumen atau pendaftaran, tetapi aset sebenar dalam memacu kejayaan moden.
Antara pengisian HHIN 2026 seperti program IP Talk-Game On: Create, Protect, Own di beberapa sekolah sukan, Program Serve & Protect: HHIN Media Pickleball Challenge iaitu sukan bersama media, seminar, kuiz/kahoot IP dan sukan, cara harta karun ‘IP Explorer Challenge’, pertandingan individu, e-sukan serta cabutan bertuah.
Kemuncak HHIN 2026 adalah Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) dengan kali ini sebanyak 552 permohonan diterima dan penilaian serta saringan dilaksanakan oleh juri terdiri daripada pakar dalam pelbagai kategori.
Yusnieza Syarmila berkata, pemenang AHIN tahun ini melibatkan pelbagai latar belakang, syarikat, institusi pendidikan, perusahaan tempatan, pencipta individu dan organisasi yang berani menukar idea kepada nilai komersial.
“Mereka memahami bahawa paten boleh membuka pasaran baharu, cap dagangan boleh membina kepercayaan pengguna, reka bentuk boleh membezakan produk, manakala hak cipta boleh menjana pendapatan berterusan.
“Terdapat juga penyertaan yang menonjol kerana berjaya menyelesaikan masalah rakyat melalui inovasi praktikal. Ini menunjukkan IP bukan sekadar teori, tetapi alat untuk meningkatkan kehidupan masyarakat,” katanya.
Enam kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Organisasi Terunggul Harta Intelek, Anugerah Wira Inovatif (Paten), Anugerah InoReka (Reka Bentuk Perindustrian), Anugerah Juara Jenama (Cap Dagangan), Anugerah Nadi Kreatif (Hak Cipta) dan Anugerah Permata Cilik.
Beliau berkata, turut diperkenalkan Anugerah Inspirasi Madani sebagai meraikan tokoh dan organisasi yang memberi impak besar kepada negara melalui kekuatan jenama, inovasi, pengaruh serta sumbangan ekonomi.
Jelasnya, penerima kategori ini juga mencerminkan semangat Malaysia Madani, kejayaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan mengangkat nama negara secara bersama.
“Akhirnya apa kami harapkan supaya rekaan dan penghasilan daripada anak tempatan juga mampu berdaya saing dengan jenama besar antarabangsa.
“Fokus bukan hanya memproses pendaftaran, tetapi membantu rakyat dan industri melihat harta intelek sebagai aset strategik yang mampu menjana nilai ekonomi, memperkukuh daya saing serta memacu inovasi dan pengkomersialan secara mampan,” jelas beliau lagi. -KOSMO! ONLINE














