SEBERANG PERAI – “Bumbung dapur terbang melayang, kepala ribut mai (datang) sekelip mata.”
Demikian detik cemas yang dikongsi seorang warga emas yang merupakan penduduk di Permatang Binjai, Penaga di sini, apabila kediamannya dilanda ribut kuat, kira-kira pukul 7 malam tadi.
Menurut Siti Amin Ismail, 62, dia tidak dapat membayangkan kejadian cemas ketika angin kuat melanda kawasan kediamannya disusuli dentuman guruh dan hujan lebat.
“Saya ketika itu sedang menyediakan peknga untuk cucu di dapur. Memang terkedu lihat bumbung dengan sekali rangka diangkat dan diterbangkan angin tak sampai beberapa saat.
“Angin sangat kuat sehinggakan sebahagian bumbung di ruang tamu juga diangkat tapi dihempap semula ke tempat asal.
“Sebelum itu, saya dengar bunyi seperti paku-paku bumbung tercabut. Bukan satu bumbung tapi semua bumbung di bahagian dapur. Saya terus berlari ke ruang tamu dengan cucu dalam keadaan dibasahi hujan,” katanya kepada Kosmo! di sini, malam tadi.
Cerita Siti Amin lagi, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kediamannya dan dia kali terakhir menukar bumbung baharu pada tahun 2023.
Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian ribut turut menyebabkan struktur bumbung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas turut terjejas.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebahagian bumbung premis perniagaan diterbangkan angin manakala lebih 20 kediaman di Kepala Batas di sini dikatakan rosak akibat dibadai ribut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, bumbung sebuah bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir dilaporkan turut rosak diterbangkan angin. -KOSMO! ONLINE














