BESUT – Penceramah warga Syria, Mhd. Mohib Khouli Nazern dihukum penjara seminggu dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut, di sini hari ini atas kesalahan menghina pihak berkuasa agama Terengganu, dua tahun lalu.
Hakim Syarie Ahmad Amir Mustaqim Ahmad Kusaini menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh yang menetap di negara ini setelah berkahwin dengan wanita tempatan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mhd. Mohib Khouli Nazem didakwa menghina pihak berkuasa agama sewaktu membuat siaran langsung di laman Facebook bagi mengulas fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang mengharamkan ajarannya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Farhana Sulaiman manakala Mhd. Mohib Khouli Nazem pula diwakili peguam syarie, Mohd. Zabidi Yusof.
Hakim Syarie Ahmad Amir Mustaqim bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman sementara tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah,
Kosmo! Online 16 November 2023 melaporkan Jawatankuasa Fatwa Terengganu memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa oleh Mhd. Mohib Khouli Nazem sesat dan haram diikuti umat Islam kerana bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali ke-15 bersidang pada 30 Ogos 2023. – KOSMO! ONLINE














