KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mempergiatkan usaha advokasi dan perlindungan susulan peningkatan kes keganasan rumah tangga di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik menunjukkan trend peningkatan ketara dari 5,277 kes pada 2023 kepada 7,391 kes direkodkan pada 2025.
“Kes ini amat serius dan merisaukan, lebih-lebih lagi apabila berlaku secara berulang. Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita akan melaksanakan pendekatan lebih agresif termasuk program keselamatan dan pendidikan kepada wanita.
“Kita bukan sahaja fokus kepada kebajikan atau ekonomi, tetapi juga aspek keselamatan fizikal serta kesedaran wanita tentang tindakan yang perlu diambil,” katanya ketika sidang akhbar khas berhubung keganasan rumah tangga di sini, hari ini.
Nancy turut menegaskan bahawa kes yang masih dalam perbicaraan mahkamah tidak boleh diperincikan, namun secara keseluruhan keganasan rumah tangga kekal sebagai isu yang membimbangkan.
Mengulas isu kekangan tindakan, beliau berkata siasatan terperinci diperlukan sebelum sebarang maklumat didedahkan kepada umum.
“Kita perlu pastikan setiap kes disiasat dengan rapi sebelum dikongsi,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh sistem perlindungan wanita juga selari dengan komitmen Malaysia dalam agenda Women, Peace and Security (WPS).
“Ini akan menjadi pemangkin untuk kita laksanakan program lebih menyeluruh dan berkesan bagi melindungi wanita,” katanya. – KOSMO! ONLINE














