PETALING JAYA – Penyanyi yang juga komposer Hael Husaini menegaskan penangguhan penerbitan album solonya adalah keputusan sendiri tanpa ada sebarang campur tangan daripada syarikat rakaman yang dinaunginya.
Hael atau nama penuhnya, Hal Husaini Razmi, 38, berkata, album tersebut akan dilancarkan pada waktu yang tepat dan akan dihebahkan kepada umum kelak.
“Penangguhan album adalah keputusan saya sendiri sepenuhnya.
“Album tersebut akan dilancarkan apabila tiba masa yang sesuai,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Dalam perkongsian sama, dia memberitahu syarikat rakaman memberi kerjasama dan sokongan penuh dalam penghasilan album solonya.
“Label saya telah menjadi sistem sokongan yang hebat untuk kerjaya muzik saya sejak tahun 2013.
Mereka memberikan kebebasan penuh kepada saya untuk merancang dan memutuskan bila hendak melakukan sebarang pelancaran,” katanya lagi.
Hael juga sempat meminta orang ramai berhenti menyalahkan mana-mana pihak khususnya syarikat rakaman berhubung penghasilan album tersebut.
“Janganlah meletakkan kesalahan segala-galanya pada pihak label semata-mata.
“Kadang-kadang artis itu sendiri yang memutuskan apa yang terbaik untuk diri mereka,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat memberitahu akan terus menanti pelancaran albumnya yang difahamkan sambungan bagi album EP berjudul Antonim Part 1.
Sebelum ini, bekas bintang Akademi Fantasia itu melancarkan Antonim Part 1 pada Januari 2024 yang diisi dengan enam buah lagu solonya. – KOSMO! ONLINE














