MELAKA – Sepasang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) swasta dicekup berkhalwat dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini semalam, dengan penuntut lelaki terbabit ditemui bersembunyi di dalam almari.
Pasangan berusia 21 tahun itu memberi alasan berada di rumah berkenaan untuk menyiapkan tugasan universiti bersama ketika diperiksa sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 9 pagi.
Serbuan dilakukan dengan kerjasama polis selepas menerima aduan daripada orang awam.
Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit bersembunyi di dalam almari, manakala kenalan wanitanya yang merupakan penyewa rumah berkenaan ditemui berada di dalam rumah dengan memakai telekung.
Menurut beliau, semakan lanjut mendapati kedua-dua mereka merupakan pelajar IPT swasta, masih bujang dan tidak mempunyai hubungan yang sah sebagai suami isteri.
“Pasangan itu memberi alasan berada di rumah berkenaan bagi menyiapkan tugasan universiti bersama.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati mereka berdua-duaan di dalam rumah tersebut dalam keadaan yang menimbulkan syak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Md. Azhan berkata, susulan itu kedua-dua mereka dibawa ke Pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala sosial dalam kalangan masyarakat Islam.
“Operasi seperti ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar sentiasa mematuhi tuntutan agama dan mengelakkan perbuatan yang boleh membawa kepada kemungkaran,” katanya.- KOSMO! ONLINE














