KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan sebahagian etnik Rohingya menyewa atau meminjam kenderaan penduduk tempatan bagi menjalankan aktiviti pengangkutan termasuk membawa penumpang dan mengangkut barang tanpa lesen memandu sah.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops Pewa) mendapati sebahagian 93 individu etnik Rohingya yang ditahan sejak 1 Jun lalu menjadikan motosikal dan kereta persendirian tersebut sebagai medium pengangkutan dalam kalangan komuniti sendiri.
Beliau berkata, warga asing tersebut dipercayai menggunakan kenderaan berkenaan untuk mengangkut peralatan kerja sebagai kontraktor selain mengambil upah menghantar murid dan pelajar sekolah.
“Penggunaan kenderaan persendirian ini oleh warga asing untuk membawa penumpang atau mengangkut barang meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.
“Ia tidak boleh dipandang ringan kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) selain kenderaan digunakan juga tidak mempunyai perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) yang sah,” katanya di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Pewa, sebanyak 114 kenderaan warga asing telah disita selain 559 notis saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE














