fbpx
SYIMA mendengar namanya dipanggil dan melihat kelibat wanita berambut panjang sehingga membuatkan dia pengsan. – Ilustrasi Shah Hasan

Kelibat wanita misteri dalam surau pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI Syima (bukan nama sebenar) yang tidak pernah mempercayai kewujudan hantu, pengalaman menyeramkan yang dialami tiga tahun lalu itu benar-benar meninggalkan kesan dalam hidupnya.

Memulakan bicara, Syima berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia bertugas di pusat panggilan untuk sebuah bank dan hari itu dia bertugas syif malam.

Tempat Syima bertugas ketika itu terletak di aras tujuh di sebuah bangunan lama.

Syima berkata, sepanjang tiga tahun bekerja, dia tidak pernah mengalami kejadian pelik atau menyeramkan, namun sesuatu yang aneh berlaku kepadanya sewaktu dia pergi ke surau yang terletak di aras tiga.

“Ketika itu, jarum jam menunjukkan pukul 3 pagi dan saya baru tersedar bahawa saya belum sempat menunaikan solat isyak. Memandangkan saya merupakan satu-satunya staf beragama Islam yang bertugas malam itu, maka saya terpaksa turun ke surau yang terletak di aras tiga itu seorang diri.

“Tetapi saya tidak takut pun kerana pejabat itu sentiasa meriah dan ramai pekerja yang bekerja syif malam seperti saya.

“Ketika sampai di situ, saya melihat lampu koridor mula berkelip-kelip. Namun, saya tidak fikir apa kerana mahu segera solat sebelum menyambung semula tugas,” katanya.

Selesai menunaikan solat, Syima terdengar bunyi tapak kaki di saf belakang.

“Oh, rupanya ada lagi yang masih belum solat,” kata Syima di dalam hati.

Namun, apabila dia menoleh, tiada sesiapa di situ. Bulu roma gadis itu mula berdiri dan jantungnya pula mula berdegup kencang.

Enggan terus melayan perasaan, Syima bergegas mengambil barang-barangnya untuk keluar dari surau.

Namun, pintu surau itu tiba-tiba terkunci. Syima terus memulas dengan kuat berulang kali untuk membuka pintu tersebut.

“Tapi ternyata saya telah terkunci dari dalam, menyebabkan saya panik.

“Saya terus mencapai telefon bimbit untuk menghubungi rakan sekerja, namun tiba-tiba sahaja tiada line dan telefon bimbit saya juga sudah terputus sambungan Wi-Fi,” kata Syima.

Ketika itu juga dia mendengar suara yang memanggil namanya berulang kali, sayup, seolah-olah sedang berbisik.

Jantung Syima mula berdegup kencang dan apabila dia menoleh, dia ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang yang sedang menunduk ke bawah, tubuhnya kaku tidak bergerak.

Syima menjerit sekuat hati dan tidak sedarkan diri.

Rupa-rupanya, dia pengsan dan kehilangannya disedari oleh rakan sekerja.

“Mereka tahu saya ke surau dan pelik kerana saya tidak kembali selepas waktu rehat tamat.

“Mereka mencari saya dan memberitahu boleh membuka pintu surau tanpa sebarang masalah sekali gus mencetuskan rasa hairan apabila saya menyatakan bahawa telah terkunci selepas solat,” katanya.

Sejak kejadian itu, Syima tidak lagi berani bekerja syif malam kerana gangguan tersebut masih menghantuinya.

Lebih menyeramkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak mengesan kelibat orang lain yang memasuki surau itu.

“Sampai sekarang, saya tidak tahu siapa orang itu dan mengapa dia mengganggu saya,” katanya.

Walaupun telah berpindah kerja, Syima mengakui dia masih tidak dapat melupakan peristiwa malam itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN