LUMUT – Keluarga lelaki yang maut ditikam dalam satu pergaduhan di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, Kampung Gajah kelmarin tidak mengetahui mangsa mempunyai teman wanita selain hasratnya untuk berkahwin.
Bapa angkat mangsa, Mohd. Said Mohd, 64, berkata, dia hanya mengetahui anaknya, Mohd. Fahmi Abdullah, 29, ditikam selepas menerima panggilan daripada pihak polis selepas pulang dari solat subuh.
“Saya tengok banyak panggilan masuk. Polis beritahu anak saya ditikam dan meminta saya datang ke klinik di Pasir Salak.
“Saya ingat keadaan tidaklah teruk sebab anak hanya dibawa ke klinik tetapi apabila tiba di sana, lain pula jadinya, saya diberitahu dia sudah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Pasir Pandak, Lekir di sini semalam.
Mohd. Said berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar kejadian sehingga meragut nyawa anaknya dan polis percaya kejadian bermotifkan cemburu.
Menurutnya, Mohd. Fahmi dipelihara sejak bayi dan dia seorang yang tidak banyak bercakap selain lebih rapat dengan ibunya.
“Saya juga tidak tahu mengenai teman wanita dia (Mohd. Fahmi) atau hasratnya untuk berkawin,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohd. Said berkata, malam sebelum kejadian, dia ada bertanya kepada isterinya mengenai keberadaan Mohd. Fahmi dan wanita itu memaklumkan mangsa telah ke tempat kerja.
“Isteri kata dia (Mohd. Fahmi) kirim salam pada saya. Anak sepatutnya ke Seremban kerana urusan kerja. Bagaimanapun, pagi esoknya (kelmarin), dia telah ditikam dan meninggal dunia,” katanya.
Jenazah Mohd. Fahmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Pandak, Lekir di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, polis telah menemui kereta Proton Wira berwarna hitam yang dipercayai digunakan suspek kes tikam mati tersebut di tepi jalan di Batu Gajah.
Menurut beliau, suspek berusia 30 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kes curi kenderaan.
Difahamkan suspek berusia 30 tahun itu telah ditahan di Perlis. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam dalam satu pergaduhan yang dipercayai berpunca perasaan cemburu.
Siasatan awal mendapati mangsa sempat dibawa ke klinik namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Difahamkan, insiden berkenaan tercetus akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang juga bekas teman lelaki kepada teman wanita mangsa.















