PETALING JAYA – Perkhidmatan rangkaian CelcomDigi dilaporkan mengalami gangguan malam ini apabila ramai pengguna mengadu berdepan masalah ‘no service’ dan kesukaran untuk mendapatkan sambungan internet.
Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai mula meluahkan rasa tidak puas hati apabila talian mereka tiba-tiba hilang liputan walaupun sebelum itu berada dalam keadaan baik.
Seorang pengguna, @sfazzahralee_997 mempersoalkan sama ada masalah tersebut berlaku secara menyeluruh atau hanya melibatkan dirinya.
“Saya ada soalan… line Celcom ok ke tak sekarang ni? Elok-elok tengah guna, sekali ‘no service’. Saya je ke? Atau orang lain pun sama? Saya baru renew data tadi,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, @ann.hnn turut bertanya sama ada terdapat individu lain yang berdepan masalah sama.
“Ada dak sesiapa ada problem simkad Celcom ‘no service’ malam ni?” katanya.
Malah, ada pengguna yang menyifatkan gangguan tersebut seolah-olah memutuskan hubungan dengan dunia luar.
“CelcomDigi malam ni memang problem ke? Asal asyik ‘keep on connecting’… rasa macam dah terputus hubungan dengan dunia luar kejap,” luah @miaaddin.
Situasi itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen sama ada berlaku gangguan besar melibatkan rangkaian syarikat telekomunikasi berkenaan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak CelcomDigi berhubung isu tersebut.
Orang ramai berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan kesulitan berpanjangan, terutama kepada pengguna yang bergantung kepada talian bagi urusan harian.-KOSMO! ONLINE.














