fbpx
Antara rakan media yang turut serta dalam perlawanan pickleball, hari ini.

Media, MyIPO ‘berentap’ di gelanggang pickleball

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran Serve & Protect: HHIN Media Pickleball Challenge 2026 di Pickleground @ JioSpace, Seksyen 19, di sini hari ini.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, program tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2026 yang membawa tema ‘Harta Intelek Nadi Malaysia Madani: IP & Sukan – Dari Idea ke Podium’.

Menurut beliau, peranan media amat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek serta menyokong pembangunan ekosistem inovasi negara.

“Media bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan persepsi, pengukuhan jenama dan penyebaran nilai inovasi kepada masyarakat.

“Sokongan dan liputan berterusan pihak media telah banyak membantu memperluaskan hebahan HHIN saban tahun,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut, hari ini.

Tambah beliau, industri sukan kini tidak lagi tertumpu kepada prestasi atlet semata-mata, sebaliknya turut melibatkan aspek penjenamaan, teknologi, kandungan penyiaran serta hak komersial yang dilindungi di bawah harta intelek.

“Hubungan antara harta intelek dan sukan sangat signifikan, justeru peranan media dalam mengangkat naratif ini kepada umum amat penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yusnieza berkata, penganjuran kejohanan pickleball tersebut merupakan pendekatan santai dan kreatif bagi mengeratkan hubungan selain membina jaringan profesional antara MyIPO dan rakan media.

Beliau turut menyifatkan sambutan menggalakkan daripada pengamal media sebagai bukti komitmen tinggi terhadap inisiatif yang dianjurkan.

“Saya berharap program ini menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama strategik pada masa akan datang, di samping memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta,” katanya.

Terdahulu, kejohanan itu menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai agensi yang berentap dalam suasana santai serta kompetitif. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN