KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) tidak pernah memberikan kebenaran mengutip dana wakaf kepada pihak yang dikatakan meletakkan al-Quran baharu untuk dilupuskan di Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya yang menguruskan wakaf di negeri ini berasa kecewa apabila al-Quran wakaf seperti itu diletakkan di tempat pemuliaan al-Quran dan tidak dimanfaatkan.
Katanya, untuk menjalankan kegiatan mengutip derma termasuk dana wakaf atau penyediaan tabung-tabung sumbangan perlu mendapatkan kebenaran Muip terlebih dahulu.
“Wakaf Al-Quran tidak ada (kebenaran), sehingga hari ini yang memohon memang tiada, dahulu ada tetapi ada kes salah guna kebenaran, sekarang ini lebih mudah apabila semuanya terletak di bawah kawal selia Pusat Zakat dan Wakaf Negeri Pahang jika melibatkan wakaf al-Quran.
“Kita kecewa al-Quran wakaf diletakkan di situ, setakat ini pihak majlis tidak memberi sebarang kelulusan kepada mana-mana agensi bagi tujuan melakukan kutipan dana wakaf al-Quran,”katanya di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan niat suci untuk menyumbang kepada agama bertukar menjadi tanda tanya apabila sejumlah naskah al-Quran yang didakwa diwakafkan ditemui dalam keadaan masih baharu, namun menunggu giliran untuk dilupuskan di Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor dekat Maran.
Difahamkan terdapat 180 naskah al-Quran yang dibungkus di dalam enam kotak dengan nilai senaskah kira-kira RM600 yang turut tertera nama penderma.
Penemuan itu mencetuskan persoalan besar tentang bagaimana proses wakaf diuruskan, khususnya apabila melibatkan naskah al-Quran yang sepatutnya diagihkan kepada umat Islam untuk dimanfaatkan.
Jelasnya, dalam peruntukan Seksyen 86 (1) (4) (5) dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 menyatakan bahawa majlis berhak memungut dan atau memberi surat kebenaran bagi tujuan agama atau kebajikan umat Islam.














