PETALING JAYA – Ungkapan romantik seperti ‘awak berbeza daripada wanita lain’, ‘saya serius hendak berkahwin dengan awak’ dan ‘saya hendak menjaga awak selamanya’ merupakan ayat yang paling kerap digunakan lelaki toksik untuk memancing golongan wanita.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, wanita kesunyian, menghadapi tekanan hidup dan kurang kasih sayang lebih mudah cair dengan layanan dan kata-kata manis terutama apabila emosi mereka tidak stabil.
Katanya, keadaan itu menyebabkan wanita cenderung mencari perhatian sehingga mudah mempercayai pasangan walaupun baru dikenali.
“Apabila emosi kosong, mereka lebih mudah terpesona dengan individu yang hadir dan memberikan layanan yang istimewa.
“Lelaki manipulatif biasanya menggunakan taktik love bombing seperti memberi pujian, hadiah, perhatian berlebihan dan janji untuk membina emosi dengan cepat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai kes melibatkan seorang lelaki yang berkahwin sebanyak sembilan kali dan melakukan keganasan terhadap isteri-isteri dan bekas teman wanitanya.
Fauziah berkata, tindakan itu menyebabkan wanita membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin kerana dipengaruhi tekanan sosial termasuk takut digelar ‘andartu’, selain melihat pasangan sebagai peluang terbaik untuk keluar daripada kesunyian.
“Apabila emosi mengatasi rasional, mereka membuat keputusan berkahwin tanpa benar-benar mengenali latar belakang pasangan.
“Mereka lebih fokus kepada layanan romantik dan janji masa depan berbanding menilai keserasian, kestabilan emosi dan sejarah hidup pasangan,” ujarnya.
Jelas beliau, kebanyakan pelaku keganasan rumah tangga tidak menunjukkan sisi sebenar pada awal hubungan dan sikap sebenar itu akan muncul selepas mangsa mula bergantung emosi kepadanya.
“Antara tanda-tanda awal lelaki manipulatif adalah terlalu cepat bercakap soal komitmen dan perkahwinan, cemburu melampau, suka mengawal, cuba mengasingkan pasangan daripada keluarga atau rakan dan membuat pasangan rasa bersalah,” ujarnya.
Katanya, hubungan toksik lazimnya berlaku dalam satu kitaran dikenali cycle of abuse yang bermula dengan fasa romantik, diikuti peningkatan ketegangan, letusan konflik dan kembali kepada fasa memohon maaf serta berjanji berubah.
“Kitaran ini membuatkan mangsa terus berharap pasangan akan berubah, sedangkan corak tingkah laku itu berulang.
“Ramai mangsa terperangkap kerana terlalu percaya kepada memori layanan baik pada awal hubungan,” katanya.
Sehubungan itu, Fauziah menasihatkan golongan wanita supaya menilai pasangan berdasarkan tindakan, bukannya kata-kata semata-mata.
















