IPOH – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menjalin kerjasama dengan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) bagi melancarkan tiga skim perlindungan takaful buat warga pendidik pada harga bayaran mampu milik.
Skim yang dilancarkan tersebut ialah Skim Pendidik Muda, Skim Pendidik Perdana dan Skim Pendidik Budiman.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, ketiga-tiga skim itu penting sebagai pilihan kepada guru serta kakitangan sokongan dalam mendepani keperluan kewangan semasa.
“Antara cabaran kewangan semasa dihadapi mereka ketika ini ialah kos kesihatan yang semakin meningkat selain kenaikan bayaran premium bulanan oleh syarikat insurans dan takaful akibat inflasi perubatan.
“Ini adalah komitmen berterusan YGMB untuk memastikan kebajikan guru, kakitangan pendidikan serta pesara sentiasa terpelihara,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran tiga skim tersebut sambutan Hari Guru di Hotel Weil di sini kelmarin.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Ketua Pemasaran GETB, Rashida Mior Ahmad Darwish.
Skim Pendidik Muda disasarkan kepada mereka yang baharu memulakan kerjaya menerusi perlindungan asas meliputi kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) serta 50 penyakit kritikal dengan bayaran serendah RM20 sebulan sehingga umur 60 tahun.
Skim Pendidik Perdana pula adalah untuk guru yang telah berkeluarga melalui perlindungan kepada ahli berserta pasangan dan anak-anak mengikut bilangan dengan bayaran RM49 sebulan sehingga umur 60 tahun.
Sementara itu, Skim Pendidik Budiman menyamai Skim Pendidik Perdana namun menawarkan perlindungan sehingga ahli berusia 70 tahun dengan bayaran bulanan RM45, RM33 untuk pasangan dan RM21 untuk anak.
Pada masa sama, Wan Munadi berharap antara 10,000 hingga 20,000 warga pendidik, guru dan kakitangan sokongan dapat menyertai skim perlindungan tersebut pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE














