fbpx
HAKIM Danish Ramli bangkit daripada kekecewaan sesi latihan untuk mencipta kejutan menempah petak kedua pada sesi kelayakan Moto3 GP Itali di Mugello. -MTHELMETS

Hakim Danish bangkit raih petak kedua di Mugello

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya menempah petak kedua menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, esok.

Pada sesi kelayakan sebentar tadi, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 54.880 saat (s) pada sesi kelayakan, hanya 0.018s di belakang pelumba Sepanyol, David Almansa yang meraih petak utama dengan catatan 1:54.862s.

Keputusan tersebut menyaksikan Hakim bakal memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, sekali gus membuka peluang terbaik buat pelumba berusia 19 tahun itu untuk memburu penamat podium dalam saingan Moto3 musim ini.

Pencapaian itu cukup membanggakan memandangkan Hakim sebelum ini terpaksa melupakan hasrat untuk layak secara automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) selepas terbabit dalam kemalangan ketika sesi latihan semalam.

HAKIM Danish akan memulakan perlumbaan di petak kedua Moto3 GP Itali di Litar Mugello, esok.

Dalam insiden di selekoh kedua terakhir, pelumba kelahiran Terengganu itu hilang kawalan motosikal sebelum terpelanting, menyebabkan jenteranya mengalami kerosakan dan menjejaskan usahanya untuk mencatat masa lebih pantas.

Meskipun berjaya kembali ke litar selepas jenteranya dibaiki oleh pasukan, catatan masa yang dilakukan sekadar meletakkannya di tangga ke-21 keseluruhan, sekali gus memaksanya melalui sesi kelayakan pertama (Q1).

Bagaimanapun, Hakim membuktikan semangat juangnya apabila berjaya melepasi cabaran Q1 sebelum meneruskan rentak cemerlang pada Q2 untuk muncul sebagai pelumba kedua terpantas keseluruhan.

Untuk rekod, Hakim pernah memulakan perlumbaan Grand Prix Brazil dari petak ketiga, namun kedudukan kedua di Mugello merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini dalam sesi kelayakan Moto3, sekali gus mengukuhkan keyakinannya untuk melakar keputusan lebih cemerlang pada perlumbaan esok.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN